"Doa Papa Dari Jauh Buat Saya Menang"

Berjaya merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem pecah panggung, Munafik, Nabila Huda memaklumkan bahawa segala yang dianugerahkan kepadanya semalam adalah berkat doa bapanya, Amy Search yang tidak putus mendoakannya selain usahanya sendiri yang tidak henti, meletakkan jiwanya didalam setiap watak yang diberikan didalam setiap karya.



“Alhamdulillah berkat doa seorang ayah dan usaha kuat selama ini akhirnya terbalas. Saya harap papa ada bersama saya pada ketika ini di sini. Doa papa dari jauh buat saya menang. Harap-harap berita ini membuatkan dia gembira. Filem Munafik telah mendapat sembilan pencalonan di Festival Filem Malaysia dan tidak sangka salah satu kategori itu diberikan kepada saya”

“Saya seronok sangat berlakon dan sangat bersyukur menerima anugerah ini. Kalau tidak dapat pegang anugerah ini pun, saya rasa sudah cukup gembira berlakon dalam filem terbabit, kemenangan ini sebagai bonus,” katanya kepada Projek MMO selepas memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem pecah panggung Munafik di Festival Filem Malaysia 28.

Dalam masa yang sama, Amy Search turut meluahkan kegembiraannya apabila melihat Nabila dicalonkan lagi dalam kategori pelakon wanita terbaik tahun ini sehingga memenangi anugerah tersebut. Selain itu Amy juga berharap kemenangan yang dimiliki oleh Nabila semalam adalah atas dasar kemajuannya sendiri didalam bidang lakonan dan bukan kerana anak kepada beliau.

Selain anugerah ini, filem Munafik juga telah dinobatkan sebagai filem terbaik nasional. Manakala Syamsul Yusof pula selaku pengarah filem terbabit, telah diangkat sebagai pengarah terbaik dan penyunting terbaik filem itu. Munafik juga turut memenangi 5 kategori utama yang lain didalam majlis berprestij, Festival Filem Malaysia yang ke 28 yang berlangsung semalam

0 comment... add one now