Jumaat, 23 September 2016

Didakwa rogol adik angkat dua kali


KOTA BHARU – Seorang pembantu pam minyak mengaku tidak salah di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol adik angkatnya yang berusia 13 tahun.

Didakwa rogol adik angkat dua kali

Tertuduh, Muhammad Syahzwan Ab Ghani, 20, didakwa dua kali merogol mangsa berusia 13 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh, 10 dan 11 September lalu.

Kejadian pertama dikatakan berlaku pada jam 6.15 petang, manakala kedua pada jam 3 pagi.

Dakwaan kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Pada prosiding itu, tertuduh pada mulanya mengaku salah, bagaimanapun menukar pengakuan kepada tidak mengaku salah selepas dibacakan hukuman yang mungkin dikenakan kepadanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Fahrul Razi Zainal Aibin kemudian memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh susulan tuduhan serius yang dihadapi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 November depan, sementara tertuduh akan ditahan di penjara kerana tiada jaminan dibenarkan hakim, Nazri Ismail.

Tiada ulasan:
Write ulasan