Selasa, 27 September 2016

Di Penjara Kerana Membunuh , Cinta Sejenis Tak Di restui Keluarga

SINGAPURA: Seorang pereka fesyen rambut menerima hukuman 12 tahun penjara selepas mengaku bersalah membunuh kekasihnya gara-gara hubungan sejenis mereka tidak direstui keluarga.

Pesalah tersebut, Tan Chee Yeow, 40, mengaku menikam mati kekasihnya, Tan Chin Siong, 48, selepas mereka berdua menjalinkan hubungan sejenis selama lapan tahun.



Kejadian tersebut berlaku di susur pejalan kaki berdekatan stesen MRT Ang Mo Kio kira-kira pukul 8 pagi pada 4 September tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Singapura dalam kenyataannya menyebut, kedua-dua pasangan itu merupakan rakyat Malaysia yang bertemu di Johor pada 2007 sebelum memulakan hubungan songsang.

Jelas mahkamah, Chee Yeow kemudian berpindah ke Singapura selepas mangsa memintanya berbuat demikian.

Namun hubungan mereka mula bergolak kira-kira tiga tahun sebelum insiden tersebut.

Pesalah mahu hubungan mereka didedahkan kepada umum, tetapi Chin Siong enggan berbuat demikian kerana tidak mahu diketahui ahli keluarganya.

Malah Chee Yeow yang menghadapi masalah ketagihan alkohol, sering mengugut untuk membunuh diri.

Keadaan diburukkan lagi pada 28 Ogos tahun lalu apabila Chee Yeow bergaduh dengan pasangannya itu yang enggan menunaikan janji untuk bertemu dengan keluarga mangsa.

Keesokan harinya, tertuduh menelefon rumah Chin Siong di Johor Bahru dan memberitahu ibu mangsa tentang hubungan mereka. Ibunya yang terkejut membalas bahawa “hubungan itu adalah mustahil buat mereka”.

Kemudian, Chin Siong menghubungi tertuduh dan memaklumkan dia bukan seorang homoseksual, sebaliknya mahu berkahwin secara normal dan memiliki anak.

Mangsa turut menemani Chee Yeow bertemu pakar psikiatri yang menasihati Chin Siong agar menangguhkan perpisahan memandangkan tertuduh masih mengambil ubat untuk menstabilkan emosi.

Namun pada pagi 4 September, tertuduh pergi ke rumah Chin Siong dengan membawa sebilah pisau yang dibeli sehari sebelumnya.

Ketika berbincang di laluan pejalan kaki tersebut, tertuduh merayu kepada mangsa agar berpisah secara "perlahan" kerana dia tidak mampu menanggungnya.

Tertuduh juga meminta mangsa meluangkan masa bersamanya, tetapi permintaan tersebut ditolak.

Disebabkan tertuduh dapat merasakan peluang untuk berbaik semula semakin tipis, dia  bertindak menikam kekasihnya sebanyak dua kali iaitu satu di bahagian dada dan di belakang.

Seorang pejalan kaki yang kebetulan berada di situ, bergelut dengan Chee Yeow dan menendang pisau tersebut ke dalam longkang.

Beberapa orang awam lain cuba memberikan bantuan kepada Chin Siong sebelum ketibaan paramedik, tetapi dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital kira-kira pukul 9.15 pagi.

Tertuduh ditahan di tempat kejadian.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Faizal meminta hukuman penjara selama 12 hingga 14 tahun dikenakan ke atas tertuduh.

Beliau menyangkal dakwaan tertuduh membunuh tanpa niat walhal dia sudah membuat keputusan yang jelas untuk membunuh kekasihnya itu.

Peguam yang mewakili tertuduh, Josephus Tan, meminta hukuman yang dikenakan tidak melebihi 12 tahun dengan alasan kes tersebut merupakan pengkhianatan dalam hubungan. - The Straits Times/Asia News Network

Tiada ulasan:
Write ulasan