Selasa, 27 September 2016

Buruh Dipenjara 16 Tahun, 5 Sebatan Kerana Cederakan Isteri & Rogol Teman Wanita

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan oleh dua mahkamah berasingan selepas mengaku salah di atas dua pertuduhan, semalam, lapor Berita Harian.



Di Mahkamah Sesyen 1, Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap Mohd Rhozali Setapa, 25, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya dengan air panas.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Siti Fatihah Abdullah, 19, jam 11 malam pada 18 September lalu di kediaman mereka di Tepoh, Bukit Rakit, Kuala Nerus. Mohd Rhozali didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Mengikut fakta kes, pasangan itu berselisih faham pada malam kejadian sebelum Mohd Rhozali menyimbah air panas ke perut dan lengan kanan isterinya yang mengandung anak kedua mereka sehingga melecur. Malah Siti Fatihah juga turut ditampar dan kepalanya disepak.

Di Mahkamah Sesyen 2, Mohd Rhozali dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah merogol teman wanitanya sehingga melahirkan anak perempuan dalam kejadian jam 4 petang hingga 6 petang pada Mac 2011, di sebuah rumah di Tepoh.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku merogol mangsa yang pada ketika itu mangsa berusia 15 tahun.

Mohd Rhozali didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:
Write ulasan