Budak 4 Tahun maut patah leher kena beg udara

Budak maut patah leher kena beg udara


BESUT - Malang tidak berbau, itulah yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun maut terkena beg udara yang mengembung selepas kereta yang dipandu bapanya melanggar belakang sebuah kereta lain dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di jalan Gong Kemuntong, Jertih  di sini hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengahari itu, mangsa Muhammad Syawal Amsyar Mohd Fakhruzi disahkan meninggal dunia apabila tiba di hospital.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd  Zamri Mohd  Rowi berkata, sebelum kejadian mangsa bersama bapa dan ibunya dari arah Kampung Raja ke Jertih.

Menurutnya, mangsa berada di kerusi penumpang hadapan sementara ibunya  berusia 30 tahun duduk di kerusi penumpang belakang.

"Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang memakai tali pinggang keledar bangun berdiri di atas kerusi sambil bermain lalu bapa mangsa yang berumur 32 tahun menyuruhnya duduk dan tiba-tiba bapanya melihat kereta di hadapannya membrek dan bergerak perlahan kerana keadaan lalu lintas yang sesak.

"Bapa mangsa membrek kereta namun disebabkan jarak dekat menyebabkan keretanya melanggar kereta Proton Iswara di hadapan kemudian kereta Iswara  itu pula melanggar kereta Perodua Kelisa di hadapannya," katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua beg udara papan pemuka (dashboard ) hadapan pemandu dan penumpang hadapan terbuka.

Menurutnya,  kesan hentakan beg udara di hadapan kerusi penumpang hadapan itu menyebabkan kanak-kanak tersebut patah tulang tengkuk.

"Bapa dan ibu mangsa termasuk pemandu dua buah kereta lagi tidak mengalami kecederaan.  Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Besut namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluar dan di bawa pulang ke kampung ibu bapa mereka di Kampung Tok Dor di sini.

Mohd Zamri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comment... add one now