Khamis, 15 September 2016

Bapa 'Buang' Anak Berhutang Dengan Ah Long

KUALA LUMPUR: Tidak tahan dengan penderitaan ditanggung keluarga berpunca daripada anak perempuan yang dibebani hutang, menyebabkan pemandu lori Choy Khoo Yee, 64, memilih untuk 'melepaskan' anaknya itu.




Berkongsi pengalaman pahitnya pada sidang akhbar bersama Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, Khoo Yee berkata, beliau telah membayar hutang anaknya berjumlah RM48,000 kepada Ah Long sejak 2006.

Pada Rabu, beliau berikrar untuk membuat bayaran terakhir berjumlah RM12,000, termasuk kadar bunga, sekali gus memutuskan hubungan dengan anaknya, Lai Fong yang berusia 33 tahun.

"Sekarang dia tidak bekerja tetapi dia ada wang. Saya sentiasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

"Memang benar, dia meminjam wang daripada Ah Long untuk kegunaan peribadi," kata Khoo Yee, di Wisma MCA, Rabu.

Sejak itu, seluruh ahli keluarga hidup dalam ketakutan gara-gara hutang Lai Fong.

Pada 8 September, pemberi pinjam wang itu telah bertindak mengunci pintu depan rumah mereka dan menyimbah cat merah pada kereta kakak Lai Fong.

"Dia juga terlibat dalam kes penyelewengan dana ketika kali terakhir dia berkerja.

"Kami terpaksa membayar balik dana yang digunakan untuk mengelakkan dia ditangkap, tetapi dia tidak pernah belajar dari kesilapan.

"Anak-anak saya yang lain berkata, mereka akan meninggalkan keluarga jika Lai Fong tidak dilepaskan," tambah Khoo Yee dengan linangan air mata.

Pada sidang media yang sama, seorang lagi bapa, Wang Ah Watt, 66, turut memutuskan hubungan dengan anaknya, Wang Ngiap Fu, 28.

Pesara itu berkata beliau telah membayar RM60,000 kepada Ah Long untuk menyelesaikan hutang judi anaknya pada bulan Mei.

Tetapi gangguan Ah Long tidak terhenti setakat itu kerana mereka mendakwa Ngiap Fu masih dalam jagaan mereka dan menuntut wang berjumlah RM15,000.

"Apabila saya melihat anak saya, seluruh badannya lebam-lebam. Sudah pasti dia dipukul Ah Long.

"Saya menghalaunya keluar dari rumah dan saya tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengannya lagi," kata Ah Watt.

Chong berkata, sebanyak 428 kes berkaitan hutang telah direkodkan oleh biro itu tahun ini, dengan pinjaman berjumlah lebih dari RM40 juta.

Tiada ulasan:
Write ulasan