Ahad, 4 September 2016

Ayah rogol anak kena penjara 13 tahun, lapan sebatan

KOTA BHARU - Padah merogol anak kandung, seorang penoreh getah dihukum penjara 13 tahun dan lapan sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim, Nazri Ismail terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas dakwaan itu.

Lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram ke atas anaknya yang kini berusia 16 tahun antara tahun 2013 hingga 2014 pada jam 1 hingga 2 pagi di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kuala Mahligai, Kemubu, Dabong Kuala Krai.

Ayah rogol anak kena penjara 13 tahun, lapan sebatan

Terdahulu, peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri merayu agar hukuman penjara anak guamnya diringankan selain memohon hukuman sebatan minima atas alasan tertuduh kesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit lagi.

Katanya, tertuduh bekerja dengan pendapatan RM400 sebulan dan ada tiga orang anak berusia 13, 15 dan 16 tahun.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, bagaimanapun mencadangkan hukuman penjara dan sebatan dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Mahkamah perlu menyampaikan mesej dan gambaran kepada orang awam bahawa perbuatan sumbang mahram jijik dan hina. Tertuduh adalah bapa mangsa yang tergamak merogol anak sulungnya itu sejak berusia enam tahun menyebabkan dia mengalami tekanan emosi dalam hidupnya.

“Kejadian juga berlaku berulang kali hingga mangsa tidak tahan dan bertindak membuat laporan polis sewaktu berumur 14 tahun,” katanya.

Nazri mengarahkan hukuman penjara tertuduh di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 3 September tahun lalu.

Sebelum ini, mangsa menceritakan kejadian itu kepada kawan-kawan dan guru kaunseling sekolahnya dan kemudian membuat laporan polis pada tahun 2015.

Remaja itu turut mengalami tekanan perasaan sejak tahun 2006 hingga 2014 kerana dirogol tertuduh berulang kali.

Kejadian pertama berlaku pada tahun 2006 sejak mangsa berusia enam tahun. Sejak daripada itu, mangsa dirogol setiap kali pulang dari asrama dua minggu sekali atau sebulan sekali.

Kejadian terakhir adalah pada bulan April semasa mangsa berada di tingkatan dua.

Selepas melakukan perbuatan itu, tertuduh sempat berpesan ‘jangan royak ke Ma’ (jangan beritahu pada mama) dan mangsa tidur dalam keadaan menangis serta kesakitan.

Tiada ulasan:
Write ulasan