Isnin, 5 September 2016

Anak Hidap Tulang Rapuh, Ibu Rayu Bantuan Kerusi Roda

KUANTAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh seorang kanak-kanak, Nur Farahani Alisa, 6, selepas disahkan menghidap tulang rapuh sejak lahir.

Akibat penyakit itu, Nur Farahani tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak lain kecuali hanya mampu mengengsot.

Menurut ibunya, Sakinah Omar, 40, dia tetap tabah dan reda terhadap ketentuan Allah atas nasib  anak kelimanya itu.

Ibu rayu bantuan kerusi roda khas

“Semasa bersalin saya tiada sebarang kompilasi dan  anak saya normal seperti bayi lain tetapi  pada ketika itu kakinya  panjang sebelah.

“Doktor kemudian mengesahkan anak saya menghidap tulang rapuh dan tidak kuat seperti kanak-kanak normal lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Masjid Berserah.

Sakinah memaklumkan, Nur Farahani akan memulakan persekolahan pada Januari tahun hadapan di Sekolah Kebangsaan Pelindung dan anaknya sudah tidak sabar untuk ke sekolah pendidikan khas di situ.

Bagaimanapun, Sakinah bimbang ketiadaan kemudahan seperti kerusi roda khas  akan  menyukarkan pergerakan anaknya untuk bersekolah.

“Saya tak ada duit nak beli kerusi roda. Saya juga tak ada kerja tetap, jadi  macamana nak dapatkan kerusi roda untuk Farahani.

“Saya juga terpaksa bekerja pada hujung minggu kerana pada waktu itu saja, kakak dan abangnya akan jaga dia,” katanya.

Meskipun  dalam serba kekurangan, ibu  kepada lima anak ini tetap berusaha mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga walau mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, dia terpaksa bekerja bagi membolehkan kesemua anaknya mendapat pendidikan yang sempurna walaupun kehidupan mereka boleh diibaratkan kais pagi makan pagi.

Bercerita mengenai anak bongsunya itu, Sakinah berkata, setiap tiga bulan sekali dia terpaksa membawa Nur Farahani ke Hospital Putrajaya untuk  rawatan  dan memasukkan ubat bagi menguatkan tulang.

Selain mendapatkan rawatan, Nur Farahani turut  menjalani terapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebulan sekali bagi membolehkan tulang dan sarafnya kuat.

“Saya akui walaupun dia mengalami kesukaran untuk berjalan, tetapi saya sekurang-kurangnya berusaha bagi memastikan dia sentiasa sihat meskipun serba kekurangan,” katanya.

Sakinah memberitahu, hasrat untuk melakukan  pembedahan anaknya  itu ada, bagaimanapun segala-galanya bergantung pada keputusan daripada pihak doktor kelak.

Tambahnya, dia mengakui sememangnya mahu melihat anaknya itu dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain dan boleh berlari serta bermain.

Tiada ulasan:
Write ulasan