Khamis, 1 September 2016

Anak bongsu Sosilawati bangkit selepas trauma

Kuala Lumpur: Kematian tragis jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, masih berbekas dan meninggalkan trauma mendalam kepada anak bongsunya, Siti Nur Fatimah Buhari, 19.



Siti Nur Fatimah yang kini sibuk membangunkan label jenama fesyen sendiri berkata, peristiwa kejam yang menimpa ibu dan keluarganya enam tahun lalu, menyebabkan beliau bukan saja melalui kehidupan sedih pada usia muda tetapi juga diburu rasa ketakutan sehingga hari ini.

"Saya selalu rasa gementar atau seram apabila bersendirian, khususnya jika balik lewat malam. Kadangkala saya berasakan ada sesuatu sedang memerhati.

 "Sebab itu saya selalu menghubungi ayah atau kakak untuk memberitahu mengenai keadaan saya.

 "Bagi menjamin keselamatan diri, saya sentiasa cuba mengelak balik lewat malam dan memastikan diri akan ditemani walau ke mana saja," katanya kepada BH, di sini, semalam

Dalam insiden menggemparkan negara itu, pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Sosilawati bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 47, dan pegawai CIMB Bank, Norhisham Mohammad, 38, mati dibunuh secara tragis ketika umat Islam sibuk bersiap menyambut Aidilfitri. Bekas peguam, N Pathmanabhan, 45; pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 23, R Matan, 24, dan R Kathavarayan, 35; melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Semua tertuduh didapati bersalah dan dihukum mati. Sosilawati meninggalkan enam anak, termasuk Siti Nur Fatimah yang ketika itu baharu berusia 13 tahun. Berhenti sekolah Selepas tragedi itu, Siti Nur Fatimah terpaksa berhenti sekolah untuk tempoh beberapa bulan atas faktor keselamatan dan meredakan tekanan.

Malah, kisah sebenar kronologi kejadian itu hanya dibaca menerusi keratan akhbar yang disimpan kakaknya di pejabat arwah ibu, dua tahun selepas kes pembunuhan ibunya. Selain kakak dan ayah, Buhari Mohamed, 67, rakan ibu, banyak memberikan sokongan untuk beliau menerima hakikat.

 "Apa yang saya ingat dalam rumah saya dipenuhi sanak-saudara. Di luar rumah pula penuh dengan jurugambar dan wartawan. Walaupun banyak laporan mengenai arwah emak, saya sebenarnya tidak membaca pun berita itu, kerana saya pasti emak akan balik," katanya.

Siti Nur Fatimah mengakui, pengalaman itu mematangkan mereka adik-beradik. Beliau berkata, kakak sulung insan paling kuat menghadapi situasi itu dan tidak menangis.

"Dalam satu temubual di radio, saya terdengar kakak bercakap, saya tidak boleh menangis kerana kalau menangis, adik juga akan bersedih. Adik saya adalah kekuatan saya," katanya.

Kini, segala perniagaan ibu diambil alih oleh kakak sulung yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Visages, manakala adik-beradik yang lain termasuk dirinya selaku pengarah untuk beberapa buah syarikat, malah akan tampil bersama jenama fesyen sendiri atas nama Siti Buhari. Sesi kaunseling penting Berdasarkan pengalaman, Siti Nur Fatimah berpendapat, anak kehilangan ibu bapa dalam kejadian tragis, seharusnya diberikan sokongan kaunseling.

Katanya, anak kecil bukan sahaja mudah terganggu dengan apa yang berlaku, sebaliknya boleh bertindak di luar kawalan.

"Dulu saya pernah begitu, keluar hingga malam sebab berasa tertekan tetapi apabila difikirkan kembali, saya rasa tindakan itu tidak betul. Sesi kaunseling mustahak untuk mengembalikan keyakinan kanak-kanak, untuk belajar menerima hakikat suatu kehilangan. Saya bersyukur, memiliki ayah dan adik-beradik yang boleh disandarkan," katanya.

 Bercerita kenangan bersama ibu, beliau berkata ibunya seorang yang tegas. Walaupun bergelar jutawan, bukan mudah beliau dan adik-beradik lain membeli sesuatu diinginkan, sebaliknya perlu berusaha mendapatkan sesuatu.

"Ibu membawa bersama kekuatan saya mencabar diri untuk berjaya," katanya. Warisi minat fesyen Mengikut jejak langkah kegigihan ibunya membina empayar perniagaan, Siti Nur Fatimah bakal melancarkan label jenama fesyen sendiri iaitu Siti Buhari menerusi syarikat baharu dibukanya, empat bulan lalu.

Koleksi bakal ditampilkan, membabitkan rangkaian jubah khusus Aidiladha manakala kasual untuk koleksi siap pakai berharga di bawah RM350. Mewarisi minat fesyen daripada arwah ibunya, Siti Nur Fatimah berkata, beliau mahu menyediakan rangkaian pakaian sopan untuk wanita. Ditanya sama ada beliau takut dibayangi nama Sosilawati, beliau optimis memberitahu, tidak pernah jemu bercerita mengenai kehebatan ibunya, malah tidak rasa terganggu pun kalau dikaitkan dengan mewarisi tuah anak jutawan

Tiada ulasan:
Write ulasan