Jumaat, 16 September 2016

Ajal balik dari kenduri kahwin

GUA MUSANG - Perjalanan pulang lima sekeluarga setelah memenuhi undangan majlis perkahwinan berakhir tragedi apabila terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 37, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di sini.

Ajal balik dari kenduri kahwin

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang tadi meragut nyawa pemandu kereta, Azahar Muhamad, 53, yang beralamat di Kampung Baru Limau Kasturi, di sini.

Isteri mangsa, Noraini Seman, 43, dan tiga anaknya, Nur Amalina Azahar, 27, Muhamad Azerey Azahar, 23 dan Nur Amirah Balqis Azahar, 14, mengalami cedera parah.

Pemandu kereta Alza yang juga Timbalan Pengurus Agro Bank Gua Musang, Mohd Baharudin Isa, 45, juga turut cedera parah dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian yang melibatkan dua kenderaan itu berpunca daripada kenderaan jenis Proton Wira yang gagal memotong kereta di hadapannya.

"Difahamkan, mangsa bersama isteri dan tiga anaknya dari arah Kuala Krai selepas menghadiri kenduri di Jerangau Barat dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Limau Kasturi.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa cuba memotong kereta di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Alza dari arah bertentangan, menuju ke Kuala Krai.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga pekerja TNB Gua Musang, meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Chiku 3," katanya lagi.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tiada ulasan:
Write ulasan