Selasa, 13 September 2016

2 kanak-kanak lemas, bot terbalik

JERANTUT – Kegembiraan sekeluarga menyambut Aidil Adha sekali gus bercuti bersama keluarga di kampung halaman mereka di Kampung Keluang, Kuala Tembeling, di sini bertukar tragedi apabila dua ahli keluarga terbabit maut dalam satu kejadian bot terbalik, sekitar jam 5.30 petang semalam.

Mangsa, Siti Khadijah Dalili Zulkiflee, 7 dan Muhammad Alee Zulhaikal Zulkiflee, 4,  dikatakan terjatuh bersama tujuh penumpang yang lain dan dipercayai lemas sebelum sempat diselamatkan oleh bapa mereka.

Tujuh lagi penumpang ialah bapa mangsa, Zulkiflee Awang Kecik, 43, dua lagi anakny, Siti Umairah Norain Zulkiflee, 14, dan Muhammad Hadimran Zulkiflee, 11, serta empat saudara mereka, Mohd Zaki Joni, 15, Mohd Hanif Joni, 10, Mohd Helmi Joni, 18 dan Mohd Farhan Mansor, 27, terselamat dalam kejadian terbabit

Zulkiflee berkata, dia bersama empat anak dan empat saudaranya itu dalam perjalanan pulang menaiki sebuat bot gentian kaca setelah bermandi manda di sungai Kuala Tembeling yang terletak di hadapan rumah nenek mangsa.

Katanya, sebaik dalam perjalanan, secara tiba-tiba bot yang dinaiki terbalik dalam jarak sekitar 50 meter dari rumah nenek mangsa mengakibatkan kesemua penumpang terjatuh.

“Kejadian berlaku begitu pantas, saya juga tidak tahu macam mana bot itu boleh terbalik sedangkan air sungai tenang sahaja. Tambahan pula jarak bot dengan tebing Cuma kira-kira satu hingga dua meter sahaja,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jerantut, di sini, malam tadi.

Zulkiflee berkata, sejurus kejadian, dia terus meminta tolong dari penduduk kampung yang berada berhampiran sebelum bertindak menyelamatkan anaknya.

Jeritan Zulkiflee turut didengari oleh anak saudaranya, Mohd Azizi Mahazan, 43, yang berada di rumah bersebelahan rumah nenek mangsa.

Mohd Azizi berkata, sebaik terdengar jeritan meminta tolong, dia bersama saudara mara yang lain yang sedang memasak di bahagian dapaur rumah mereka terus bergegas ke lokasi kejadian dan cuba menyelamatkan kesemua mangsa.

2 kanak-kanak lemas, bot terbalik

Ibu mangsa, Rosnaha Ahmad, 42, pula berkata, mereka sekeluarga menetap di Dengkil dan pulang ke Kampung Keluang sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidil Adha, semalam.

Katanya, seminggu sebelum pulang ke kampung halaman mereka itu, Muhammad Alee telah meminta untuk membeli umpan dan jala untuk dibawa pulang ke kampung.

Tambahnya, itu merupakan perkara biasa yang akan dilakukan oleh Muhammad Alee setiap kali pulang ke kampungnya itu kerana Muhammad Ali dikatakan amat suka melakukan aktiviti sedemikian.

“Selepas Zohor dalam sekitar pukul 3 petang dia (Muhammad Alee) turun ke sungai bersama ayahnya ke sungai untuk memancing dan menjala. Dapatlah bawa balik seekor udang dan ikan.

“Arwah memang nampak macam seronok sangat bila dapat kail udang dan ikan mungkin sebab itu dia mahu turun lagi sekali ke sungai bersama kakak dan abangnya kecuali anak sulung kami, Siti Aishah Norain Zulkiflee (16),” katanya.

Rosnaha berkata, Muhammad Alee dikatakan tidak sempat pun menjamah ikan dan udang yang berjaya dipancingnya itu sebelum kejadian yang meragut nyawa dia dan kakaknya itu.

“Arwah memang seorang yang sukakan kerja-kerja kampung. Dia juga suka bercucuk tanam. Terbaru dia taman pokok buah mempelam Harum Manis di rumah kami di Dengkil ketika sambutan hari lahirnya Mei lalu.

“Pokok yang ditanamnya itu hidup dengan subur. Arwah juga seorang yang banyak cakap dan peramah. Bila dia tiada ini, sunyilah nanti,” katanya yang dalam masa sama reda dengan pemergian kedua-dua anaknya itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Azid Ismail mengesahkan kejadian terbabit dan kedua-dua jenazah telah dibawa ke Hospital Jerantut sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keluang, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Osman Malek berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.49 petang di mana sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa telah ditemui oleh oramg awam dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling untuk tindakan lanjut. Kejadian berpunca dari bot yang dinaiki sembilan penumpang itu terbalik,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan