Rabu, 24 Ogos 2016

Warga emas maut dalam bilik air - Berbau busuk dan berulat sendirian

ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas yang tinggal seorang diri ditemui maut dalam bilik air di kediamannya di Jalan Fajar di sini, malam kelmarin.

Warga emas maut dalam bilik air

Mangsa, Mohd Saad Ismail,63, seorang tenaga pengajar di Kolej Kejuruteraan Latihan Kee, Jalan  Putra di sini tinggal seorang diri sejak berpisah dengan isterinya lima tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan  Kampung Aman, Jalan Fajar, Abd Rahim Puteh berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa pada Jumaat lalu.

“Dia berada di luar rumah ketika itu dan tidak menunjukkan sebarang perubahan malah menyapa saya seperti biasa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kakak mangsa juga memberitahu yang mangsa gemar memandikan kucing dan kemungkinan tergelincir di dalam bilik air ketika itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, adik mangsa pergi ke rumah mangsa pada jam 8 malam kelmarin.

“Adiknya mendapat maklumat bahawa abangnya sudah dua hari tidak pergi kerja dan ketika sampai di rumah, adiknya mendapati pintu berkunci daripada dalam dan keretanya berada di dalam garaj.

“Dia kemudian mengetuk pintu rumah, namun tidak berjawab dan bertindak menghubungi bomba untuk membuka pintu belakang,” katanya.

Mohd Rozi berkata, sebaik pintu dibuka, mereka menjumpai mayat abangnya di dalam bilik air dalam keadaan tertiarap yang sudah busuk dan berulat.

“Mangsa yang tinggal seorang diri setelah berpisah dengan isterinya lima tahun lalu mempunyai empat orang anak yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Mohd Rozi, siasatan di lokasi kejadian  dan pemeriksaan tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah direkodkan.

“Mayat dihantar ke forensik untuk dibedah siasat bagi mengesahkan punca kematian,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.34 malam untuk mendapatkan khidmat memotong mangga kunci.

“Setelah membuat pemeriksaan , pihak bomba menemui mangsa yang sudah meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dalam bilik air,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan