Jumaat, 5 Ogos 2016

Ulasan Isu Perogol Di Lepaskan Selepas Bernikah Dengan Mangsa Rogol

ULASAN Siapa yang mahu kahwin dengan perogolnya? Memang tiada siapa.

Jadi,bagaimana kita boleh membenarkan seorang anak gadis bawah umur untuk berkahwin dengan perogolnya?
 

Tetapi, nampaknya hampir tiada apa yang mustahil di Malaysia.

Semalam kita digemparkan dengan berita Ahmad Syukri Yusuf, 22, yang terlepas daripada hukuman 30 tahun penjara dan sebatan, setelah mengahwini gadis 14 tahun yang dirogolnya pada 2015.

Bayangkanlah, bagaimana gadis 14 tahun ini akan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang telah merogolnya?

Apa yang lebih membingungkan, Mahkamah Syariah yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung mangsa dalam kes zalim ini, boleh pula membenarkan permohonan kahwin bawah umur ini?

Di Malaysia, gadis beragama Islam yang berumur bawah 16 tahun yang ingin berkahwin, perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah.

Maksudnya, Mahkamah Syariah berkuasa untuk membenarkan atau tidak membenarkan sesuatu perkahwinan bawah umur itu untuk berlaku.

Namun apakah benar ada saringan dan tapisan terhadap perkahwinan bawah umur sebelum diluluskan? Atau sudah cukup dengan kelulusan ibu bapa itu sendiri?

Kes aneh sebegini malangnya bukan hal baru.

Pada tahun 2014, kita dikejutkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berkahwin dengan perogolnya yang sudah punyai seorang isteri dan empat orang anak, di Sabah.

Riduan Masmud, 40, yang juga pemilik restoran dan majikan kanak-kanak tersebut, juga telah dihadapkan di mahkamah.

Dia didakwa merasuah bapa kanak-kanak tersebut sebanyak RM5,000 supaya membenarkannya berkahwin dengan mangsa.

Riduan dihadapkan ke mahkamah untuk kes rogol dan kes rasuah terhadap bapa kanak-kanak (yang kemudian isterinya). Ah, gila!

Keadilan tidak tertegak selagi anak-anak ini berkahwin dengan perogol mereka.

Waima ibu bapa kanak-kanak ini memberi kebenaran perkahwinan, menjadi peranan kerajaan dan pihak berkuasa untuk menghalang perkara jijik ini, bukan tambah menyokong.

Basuh dosa rogol

Alangkah malangnya kita yang terpaksa hidup menyaksikan kemandulan Mahkamah Syariah yang membenarkan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi untuk berkahwin dengan perogolnya sendiri.

Logik akal, perkahwinan tidak akan membasuh dosa rogol lelaki-lelaki ini.

Namun, budaya media perdana di Malaysia—dari slot drama televisyen sampailah ke novel pop—perihal lelaki yang merogol, hendak rogol, bersifat mendera mental dan fizikal terhadap wanita bukan watak baharu.

Lelaki sebegini digambarkan sebagai macho dan naif serta bersifat tidak sengaja terhadap segala sikap jahatnya.

Cerita akan berakhir dengan lelaki hidung belang ini menjadi insaf dan mengahwini pula mangsanya.

Kejahatannya yang sebelum ini—termasuklah yang merogol itu pun akan terampun dan dilupakan terus.

Naratif sebegini telah terbatin dalam masyarakat kita, terutama dalam kaum Melayu Muslim di Malaysia.

Lelaki jahat mendapat pengampunan mudah oleh masyarakat. Wanita dan keluarga wanita tersebut akan selalu disalahkan.

Wanita yang juga mangsa kejahatan ini pula yang akan bertanggungjawab menerima dan meluruskan lelaki jalang itu tadi.

Begitulah anehnya masyarakat kita ini!

Masalah tambah merebak apabila naratif ini mengalir dari televisyen dan muka novel ke dunia realiti.

Melihat kepada kes perogol yang mengahwini mangsanya ini, kita tidak dapat mengelak daripada meracau mencari bagaimana mustahil Mahkamah Syariah, ibu bapa mangsa dan masyarakat kita membenarkan kebebalan ini berulang berkali-kali.

Mereka membiarkan seorang mangsa rogol berkahwin dengan perogolnya? Apatah lagi yang dirogol dan dipaksa berkahwin ini ialah kanak-kanak bawah umur!

Kita jangan lupa kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dengarnya telah mendapat hadiah raya tahun ini sempena pindaan Akta Kanak-Kanak di Parlimen.

Antara lain, akta tersebut telah mewajibkan suatu Daftar Kanak-Kanak yang memaparkan rekod pesalah kes melibatkan kanak-kanak.

Perkahwinan tak selalu syurga

Daftar ini untuk membolehkan rujukan dibuat sebelum seseorang itu diambil kerja itu boleh dipastikan bersih daripada jenayah terhadap kanak-kanak terutama bagi sektor nurseri dan penjagaan misalnya.

Masalahnya, kita tidak sekadar memerlukan data.

Kita memerlukan pihak berkuasa yang mempunyai mandat dalam hal ini untuk bertindak aktif, betul-betul bergerak menghalang kemungkaran terhina sebegini sementelah entiti ini mempunyai akses kuasa yang penuh.

Bekerjasamalah dengan Mahkamah Syariah di bahagian lulus dan tolak permohonan kahwin bawah nikah ini.

Menteri hal ehwal wanita, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di Sarawak itu juga, bertanggungjawab mengenai hal ini.

Exco kerajaan di setiap negeri pun perlulah lebih waspada dan proaktif menghalang kezaliman terhadap kanak-kanak ini sendiri.

Bagi ibu bapa dan keluarga mangsa rogol, kami berharap kalian tidak melulu menutup malu dengan membenarkan anak kalian berkahwin dengan perogol durjananya itu.

Anak-anak ini tidak perlu dihantar ke neraka berkali-kali. Perkahwinan bukan selalunya syurga.
Masyarakat kita juga perlu berhenti menyalahkan mangsa rogol atau keluarga mangsa rogol.

Tidak kira mangsa rogol bawah umur atau cukup umur, yang perlu tahu rasa malu dan disalahkan ialah perogol itu sendiri.

Yang patut malu dan bertaubat juga ialah individu dan institusi yang melindungi perogol tersebut dan dengan sedar menzalimi lagi mangsa rogol ini.

Tiada ulasan:
Write ulasan