Jumaat, 26 Ogos 2016

TPPA Akan Gagal Tanpa Amerika Syarikat - Mustapa

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulangi bahawa Perjanjian PerkongsianTrans-Pasifik (TPPA) akan gagal tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS).



Beliau berkata, peruntukan dalam Perkara 30 TPPA telah menjelaskan keperluan penyertaan AS dalam perjanjian perdagangan itu memandangkan AS adalah ekonomi terbesar dunia, menyumbang kira-kira 20 peratus output global.

"Presiden Obama akan giat berusaha ke arah pelaksanaan TPPA bagi waktu-waktu terakhirnya. Ia akan berjaya jika mendapat sokongan yang mencukupi," katanya kepada pemberita di luar Sesi Rangkaian Teras kedua, anjuran Unit Pemandu Agenda Bumiputera di sini,Jumaat.

Calon Republikan bagi calon pilihan raya presiden AS, Donald Trump telah mengumumkan bahawa beliau tidak menyokong TPPA.

Trump dilaporkan berkata TPPA merupakan "pengkhianatan terbesar" kepada rakyat Amerika dengan mendakwa perjanjian berkenaan akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada rakyat AS daripada penyumberan luar kerja besar-besaran.

"Semua pemimpin ASEAN akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, begitu juga pemimpin TPP. Kita dijangka membincangkan perkembangan terkini berkaitan perjanjian perdagangan itu," kata Mustapa.

Sebanyak 12 negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, NewZealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia, memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Oktober, 2015.

TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan sebagai sebahagian besar daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak2010. -Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan