TMJ Isytihar Berjaya Tumpaskan FAM!

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengisytiharkan baginda telah berjaya menumpaskan `rejim’ 30 tahun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


TMJ Isytihar Berjaya Tumpaskan FAM!
Baginda yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertitah, ia ekoran barisan Exco FAM bersetuju untuk bersara bersama-sama dengan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Tidak ada seorang pun dapat mengubah FAM selama lebih 30 tahun. Kemudiannya pada suatu hari, seorang pemuda (TMJ) yang begitu sayangkan bola sepak telah datang dan mengambil alih pentadbiran pasukan negeri yang dicintainya.
“Saya dengan perasaan bangga ingin menyatakan bahawa lelaki muda tersebut yang benar-benar sayangkan bola sepak dengan impian besarnya dan pernah juga digelar ‘budak mentah’ telah mengalahkan rejim 30 tahun FAM.
“Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya akan memusnahkan apa yang mereka bina dari awal dan membina semula ia dengan lebih baik (Walaubagaimanapun, saya mendapat idea ini dari sebuah organisasi rahsia, bukan dari filem X-Men. Haha…),” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
TMJ dalam pada itu mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mencadangkan kepadanya supaya mengambil alih jawatan Presiden FAM.
Baginda bagaimanapun tidak bersetuju untuk menjadi Presiden FAM kerana sudah mempunyai JDT selain bimbang berlaku konflik kepentingan kerana baginda akan lebih cenderung ke arah pasukan dari negerinya.
“Tindakan saya membuktikan bahawa saya bukan seseorang yang mementingkan diri sendiri, pemanipulasi dan terbabit dalam rasuah, kerana jika saya adalah sedemikian rupa, saya pasti akan menerima tawaran untuk menjadi presiden (FAM) sekarang ini,” titah baginda.

0 comment... add one now