Tiada wang daftar anak masuk IPTA

PANTAI REMIS - Ibu kepada empat orang anak buntu selepas gagal menemui cara untuk membayar wang yuran pendaftaran anak keduanya bagi melanjutkan pengajian di salah sebuah IPTA.

Rozita Maznan, 43, dari Kampung Permatang Tinggi, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, dilihat lebih banyak termenung dan bersedih memikirkan nasib anaknya Muhammad Alief Aiman Muhammad, 19.

Menurut Rozita pelbagai usaha telah dilakukannya termasuk menemui ketua kampung namun semua usaha berkenaan menemui jalan buntu.

"Saya tidak bekerja, manakala suami yang juga ayah tiri kepada Muhammad Alief hanya bekerja sendiri untuk menampung kami sekeluarga.

"Anak sulung saya, abang kepada Muhammad Alief pula hanya bekerja di kedai makan dengan pendapatan yang tidak seberapa," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Alief bakal mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Dengan Kepujian, pada 28 Ogos, jam 8.30 pagi.

Rozita berkata, dia tidak sanggup melihat masa depan anaknya gelap hanya kerana tidak mempunyai wang untuk mereka menyambung pelajaran.

Tiada wang daftar anak masuk IPTA


"Ini adalah jalan terakhir untuk saya, saya sudah tidak kisah apa orang nak cakap, yang penting anak saya dapat sambung belajar dan menjadi insan berjaya.

"Cukuplah anak sulung saya mengorbankan pelajaran dan masa depannya untuk membantu saya menyara adik-adiknya," katanya.

Tambahnya sehingga semalam, dia tidak melakukan sebarang persiapan untuk menghantar Muhammad Alief mendaftar di UUM ekoran masih tidak mempunyai wang.

Sementara itu Muhammad Alief yang baharu sahaja menamatkan pengajian dari Kolej Matrikulasi Perlis, April lalu, turut memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 3.92.

"Semasa di Matrikulasi saya diberi elaun makan selain turut menerima bantuan wang zakat untuk membiayai pengajian di sana.

"Tetapi untuk memasuki UUM Ahad ini, kami tidak mempunyai sebarang wang bagi membayar yuran pengajian serta untuk ke sana," katanya.

Selain Muhammad Alief, anak perempuan Rozita, Nur Fatihah Balqis Muhammad, 11, juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang di Sekolah Kebangsaan Gangga, Beruas dan tinggal di asrama.

"Sudah dua tahun saya tidak mampu membayar yuran sekolah dan asrama Nur Fatihah kerana tidak mampu, tetapi pihak sekolah tidak pernah memaksa kami menjelaskannya.

"Saya tahu guru besar dan guru-guru Nur Fatihah membantu kami, kerana anak saya merupakan antara pelajar cemerlang dan harapan sekolah dalam UPSR tahun hadapan," katanya.

Rozita besyukur kerana anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran namum terpaksa menghadapi kesusahan untuk mereka menyambung pelajaran bagi mengubah nasib keluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Maybank Rozita di nombor 1581 8114 1677 atau akaun Bank Islam Muhammad Alief 08-059-02-376813-5.

Mereka juga boleh dihubungi melalui nombor 010-462 8733 (Rozita) atau alamat rumah No. 41, Kampung Permatang Tinggi, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, Perak.

0 comment... add one now