Isnin, 29 Ogos 2016

Saya Tiada Masa Nak Baca Isi Kandungan Pendrive - KJ

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu sekiranya didapati ada ketirisan dan salah laku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).



Khairy berkata, ketika ini beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai isi kandungan pemacu pena yang diterimanya daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat lepas.

"Saya tidak akan menutup kesalahan sesiapa, saya tidak akan sembunyikannya, saya akan buat secara telus berdasarkan laporan tersebut... secepat mungkin.

"Saya belum ada masa membaca sepenuhnya kandungan pemacu pena tersebut. Saya akan maklumkan kepada media tentang tindakan susulan saya, sesudah saya kaji isi kandungan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama atlet paralimpik negara di sini, Ahad.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) telah menyerahkan pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku FAM kepada Khairy.

Tunku Ismail memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena berkenaan kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM, selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya. - Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan