Isnin, 8 Ogos 2016

Polis Pahang Nafi Keluar Saman Sebab Main Pokemon Go , Wartawan Reka Cerita

KUANTAN: Polis Pahang menafikan adamengeluarkan saman terhadap seorang peniaga kerana menggunakan telefon bimbit sambil bermain Pokemon Go di bandar ini pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata laporan sebuah akhbar tentang perkara itu adalah tidak benar.



"Sejurus selepas laporan berita tersebar kita telah melakukan semakan dan siasatan mendapati tiada saman yang dikeluarkan seperti yang dilaporkan.

"Pihak polis tidak tahu dari mana wartawan itu mendapat sumber berita berkenaan, malah beliau juga tidak ada menghubungi saya untuk pengesahan tentang cerita itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang peniaga disaman oleh pihak polis kerana menggunakan telefon bimbit sambil bermain Pokemon Go di bandar ini 11 pagi Sabtu yang kemudiannya berita tentang perkara itu dimuat naik oleh dilaman-laman sosial.

Menurut laporan itu ahli perniagaan berkenaan dikatakan sedang mengimbas karektor raksaksa digital itu di sepanjang laluan berkenaan sebelum perbuatannya disedari pihak polis dan diberikan saman.

Mengulas tentang perkara itu, Mohd Noor berkata polis tidak pernah mengeluarkan saman sewenang-wenangnya jika pemandu kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana individu sekiranya menggunakan aplikasi telefon bimbit sambil memandu sama seperti kesalahan menggunakan telefon bimbit tanpa menggunakan peranti bebas tangan dan bukannya kerana Pokemon Go.

"Ini kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan jika individu yang terlibat asyik bermain permainan itu tanpa memberi tumpuan terhadap pemanduan," katanya.-Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan