Penyokong Bola Sepak Serang Jurugambar Biadap – NUJ

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia menyifatkan perbuatan sekumpulan individu dipercayai penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menyerang jurugambar The News Straits Times (NSTP), Supian Ahmad di Stadium Ipoh malam tadi sebagai biadap.

Setiausaha Agung NUJ Malaysia, Schave Jerome De Rozario berkata, NUJ Malaysia meminta pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penyokong bola sepak yang melakukan keganasan itu.
Jurufoto Akhbar Cedera Selepas Perlawanan Perak-JDT
“Insiden keganasan yang berlaku sejurus selesai perlawanan membabitkan pasukan Perak dan JDT di Stadium Ipoh itu, turut dianggap satu perlakuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang bahaya.
“Malah, tindakan penyokong yang menyerang serta mengarahkan supaya gambar yang dirakam jurufoto terbabit dipadamkan, dilihat satu desakan yang keterlaluan serta biadab,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Schave Jerome berkata, sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab setiap jurugambar untuk merakam gambar pada setiap kali perlawanan bola sepak termasuk kejadian-kejadian sampingan yang berlaku pada sebelum atau selepas perlawanan.
Justeru, katanya, insiden itu menimbulkan persoalan sama ada tahap atau aspek keselamatan petugas media terutama jurufoto yang membuat liputan dilapangan ketika acara sukan dijadikan
sebahagain daripada skop prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak penganjur atau tidak.
“Kami juga menggesa penguatkuasaan serta pemeriksaan lebih ketat oleh pihak berkuasa yang mengawal stadium terhadap kumpulan penyokong, berikutan setakat hari ini pelbagai barangan larangan seperti suar dan mercun masih mudah dibawa masuk ke dalam stadium mereka, sehingga mengundang bahaya kepada pemain dan petugas media,” tegasnya.

0 comment... add one now