Masih ada harapan kembali ke pangkal jalan, Jangan Guna Kata Cacian

Kuala Lumpur: "Masih ada harapan untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Jika menggunakan kata-kata cacian, ia akan menambah lagi sakit hati dan mereka akan berterusan dengan hubungan sedemikan kerana layanan kita itu.”



Demikian nasihat Ustaz Dr Abd Basit Abd Rahman, penceramah bebas yang juga Musyrif (Penyelaras) Pondok Sungai Durian mengenai viral pasangan kekasih lelaki di negara ini yang secara terang-terangan mengakui hubungan songsang itu di Facebook (FB).

BACA LAGI ::

Mungkin Malaysia Sepatutnya Membenarkan Kahwin Sejenis?

Kemaskini status pasangan berkenaan di FB yang disertakan dengan beberapa keping gambar turut menerima kecaman netizen selepas ia dikongsi beberapa Fanpage.

"Bahasa menerusi komen yang banyak memaki dan mencaci itu bukan bahasa orang Islam. Islam berasal dengan akhlak dan fakta. Kalau mereka silap semua perlu menegur dengan baik dan menerangkan bahawa ia menyalahi ajaran agama.

“Biarpun perbuatan mereka itu ternyata bertentangan dengan fitrah manusia, namun ia bukan lesen untuk kita memaki hamun dan menghamburkan kata-kata cacian.," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Abd Basit berkata, jika sesiapa mempunyai ilmu dan kepandaian, mereka sepatutnya memberi nasihat secara tertib mengikut ajaran Islam dengan menggunakan ayat al-Quran atau hadis.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati pasangan itu supaya kembali ke pangkal jalan kerana ia adalah satu kerosakan fitrah manusia dan perbuatan itu tidak boleh diterima.

Pendapat sama disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharim.

"Kalau orang itu buat maksiat dan terkutuk sebagainya, maka kita daripada sudut sebagai pendakwah, pandangan itu perlulah pandangan yang baik. Tidak perlu cacian, maki hamun atau hinaan.

"Kita perlu memberikan pandangan dengan cara yang berhikmah dan menggunakan kebijaksanaan. Kalau kita maki, dia akan semakin tercabar dan seronok. Nanti dia akan kata 'lantak laa aku nak buat apa pun. Apa kau kisah'," katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia dan saudara sesama Islam, kita perlu beri pandangan secara umum supaya mereka mampu kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

"Beri pandangan yang baik selagi usia masih ada di muka bumi ini. Sesungguhnya perbuatan itu perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah SWT.

"Bukan apa, orang kalau kita kutuk lagi dia marah. Dalam dunia dakwah beralah bukan beerti mengalah," katanya.

0 comment... add one now