Rabu, 24 Ogos 2016

Mangsa serangan seksual saman MAS RM616,000

Perth: Seorang wanita Australia yang mendakwa diserang secara seksual oleh ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) ketika dalam penerbangan ke Paris dari KLIA ke Paris pada 2014, memfailkan saman A$200,000 (kira-kira RM616,000) terhadap syarikat penerbangan itu.

Laura Bushney, 28, yang menaiki pesawat MAS itu pada 4 Ogos 2014, mendakwa diserang secara seksual oleh ketua pramugara Mohd Rosli Ab Karim, kini dalam jaminan di Perancis menunggu perbicaraan.



MAS menamatkan perkhidmatan Mohd Rosli dua minggu selepas kejadian dan pada 25 Ogos 2014, wanita itu muncul di televisyen Australia, Channel Seven's Sunday Night, menceritakan kejadian berkenaan.

Penyataan Tuntutan Bushney yang difailkan syarikat guaman Shine di Mahkamah Persekutuan Australia Barat, mengemukakan dakwaan lengkap kejadian itu yang dikatakan berlaku selama beberapa jam sepanjang penerbangan selama 13 jam.

Menurut penyataan itu, kejadian berlaku selepas Bushney memberitahu anak kapal bahawa dia takut menaiki kapal terbang dan ketua pramugara berjanji akan memantaunya sepanjang penerbangan.

Wanita itu mendakwa, perbuatan Mohd Rosli melarat daripada sentuhan kaki kepada meraba perut dan paha, malah memasukkan tangan ke dalam seluar serta menyentuh bahagian sulitnya.

Setiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Bushney membuat aduan kepada pegawai MAS dia diserang secara seksual dan diberi peringatan akibat bakal diterimanya jika aduan itu tidak benar.

Menurut penyataan itu, Bushney menyatakan bahawa dia mahu membuat aduan itu dan polis Perancis membawa ketua pramugara terbabit ke balai polis.

“Pemohon (Bushney) bersetuju menjalani ujian DNA," kata penyataan itu.

Selepas beberapa bulan siasatan, polis Perancis mendakwa Mohd Rosli dengan tuduhan serangan tidak bermoral dan kini dalam jaminan menunggu perbicaraan.

Menurut Konvensyen Montreal, Bushney mempunyai masa dua tahun untuk membuat tuntutan ganti rugi berdasarkan kecederaan fizikal serta kerugian kewangan.

Selain menuntut ganti rugi A$200,000 yang dibenarkan konvensyen berkenaan, Bushney juga menuntut ganti rugi lain yang dirasakan layak oleh mahkamah.

Menurut news.com.au, MAS belum memberi kenyataan balas terhadap dakwaan dan tuntutan Bushney.

Tiada ulasan:
Write ulasan