Jumaat, 26 Ogos 2016

Loqman Buat Semua Ini Kepada Kami, Saya Akan Matikah?' - Mangsa

MELAKA: Teriakan "Tolong! Tolong!" selama-lamanya akan menghantui pemikiran Norashikin Aripin.



Jiran kepada mangsa pembunuhan yang berlaku di sini, pagi Khamis berkata, beliau mendengar suara mangsa meminta tolong dan segera menghubungi polis kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Saya fikir jiran saya dirompak. Suami saya melihat sebuah kereta dipandu keluar dari tempat letak kereta dan kami mengesyaki pencuri telah melarikan diri. Apabila kami bergegas ke sana, kami terkejut," katanya.

Beliau kemudian berlari untuk membantu Nuraqedah Aeina Hassan, 24, yang dilihatnya mengalami pendarahan teruk di kepala.

"Saya dengar bisikan 'Loqman yang buat semua ini kepada kami, saya akan matikah?'. Saya memberitahunya bahawa segala-galanya akan OK.

"Di satu sudut, neneknya Siti Khatijah Muhammad sedang menggigil dan dia menunjukkan tangannya ke arah bilik-bilik di dalam rumah itu," katanya.

Norashikin, 33, berkata beliau terkejut melihat mangsa terbaring berlumuran darah, yang digambarkan sebagai amat mengerikan.

"Saya panik dan berlari keluar dari rumah untuk memberitahu suami saya," katanya, sebelum anggota polis dan kakitangan ambulans tiba.

Norashikin berkata, beliau sebelum ini pernah diberitahu bahawa suspek adalah cucu angkat kepada Siti Khatijah.

Seorang lagi jiran, 62, yang enggan namanya disiarkan, berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu tinggal bersama keluarga Mariah Baharin, 62, sejak masih bayi.

Mariah adalah antara mangsa yang terkorban selain suaminya Hassan A Wahab, 70 dan anak lelaki mereka berusia 22 tahun yang juga pelajar Universiti Utara Malaysia.

Seorang lagi yang cedera adalah anak kepada pasangan yang terkorban, Noorhaslinda Diyana Hassan, 26.

"Neneknya sangat memanjakan suspek yang setiap malam biasa pulang lewat ke rumah," katanya.

Jiran ini mendakwa suspek telah berkelakuan pelik sejak awal tahun ini, apabila dia mula memakai jubah.

"Kadang-kadang, kami tengok dia duduk sendirian dan bercakap dengan diri sendiri," katanya.

Tambahnya, suspek, yang sentiasa diam dan selalu tidak berada di rumah sering dimarahi oleh neneknya kerana terbabit dengan dadah.

"Kami sering mendengar dia bergaduh dengan ahli keluarga. Dia selalu meminta wang daripada mereka," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di Masjid Bukit Rambai kira-kira pukul 11 Khamis dan yakin dapat menyelesaikan kes itu dengan penahanan tersebut.

Tiada ulasan:
Write ulasan