Jumaat, 26 Ogos 2016

Kes cabul di tahfiz: Kazim akan lapor polis

IPOH - Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias tidak akan berkompromi terhadap insiden jenayah seksual yang didakwa berlaku di maahad tahfiz miliknya, meskipun ia melibatkan darah daging sendiri.

Beliau berkata, tuduhan liwat dan seks luar tabii melibatkan pelajar di bawah kelolaannya seperti viral di media sosial adalah sesuatu yang serius kerana menjejaskan imej Islam.

Katanya, pihaknya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan menyerahkan siapa juga yang terlibat kepada pihak berkuasa untuk dihukum mengikut lunas undang-undang.

"Saya yakin dengan sistem perundangan dijalankan dan akan akur dengan hasil siasatan. Kami berikrar untuk tidak berkompromi dalam apa juga cara sekiranya insiden itu benar berlaku..ini adalah tanggungjawab kami sebagai Muslim.

"Kami juga akan menyerahkan siapa juga yang terlibat kepada pihak berkuasa untuk dihukum walaupun pelaku darah daging saya sendiri," katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan pencabulan seksual di sebuah‎ maahad tahfiz di Ipoh yang didakwa miliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Ustaz Kazim Elias

‎Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Mohd Kazim mengakui, kecewa dan terkesan dengan viral insiden itu yang menyebabkan banyak tuduhan dan fitnah dilemparkan kepadanya serta pengurusan sekolah.

Berdasarkan reputasi sekolah dan dirinya sebagai seorang penceramah, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan termasuk mereka yang menyebar kes berkenaan di media sosial.

"Saya bersama pengurusan sekolah akan membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. Mungkin tiga atau empat laporan dibuat serentak.

"Sebelum ini kami tak buat kerana dalam viral tak disebut dengan nyata..tapi bila polis datang untuk siasatan..ia meyakinkan bahawa yang dimaksudkan (dalam viral) itu adalam kami," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan