Khamis, 25 Ogos 2016

Kaulah Perempuan Paling Selekeh Di Tempat Kerja- Kisah Pengorbanan Seorang Isteri Masa Kini Yang Menyentuh Hati

Tugas seorang isteri pada masa kini bukan hanya tertumpu menjaga kebajikan keluarga malah turut sama bekerja untuk mengurangkan bebanan isi rumah yang ditanggung suami. Kesian juga penat di pejabat belum lagi habis dah terpaksa berperang dengan anak pula di rumah. Siapa tak pening balik-balik je rumah bersepah, pinggan mangkuk tak dibasuh, anak-anak tak makan kan? 

Jom baca perkongsian lelaki ini tentang hebatnya wanita, sanggup buat macam-macam tapi tak pernah mengeluh demi keluarga tercinta. *kesat air mata

Dah makan?

Kau balik sahaja ke rumah lalu yang menyambut kau ialah anak-anak yang sedang bergaduh. Suami kau yang sedang duduk mengadap tv sambil di perutnya ada pinggan kosong yang bersisa jajan kuning.
Lalu kau letakkan beg di tepi pintu dan terus meluru kepada dua-dua anak kau. Pause kan sekejap pergaduhan dan letakkan semua mainan di tangan mereka supaya tidak mencederakan satu sama lain.
“Dah makan?” kau pun bertanya kepada seorang demi seorang anak kau. Semua menggeleng. Lalu kau terus ke dapur dan memanaskan apa sahaja yang kau sudah beli awal dalam bentuk sejuk beku. De-frost lima minit kemudian masakkan pula 5 minit lagi.
Kau pun hidangkan seorang demi seorang. Lalu mereka duduk tergocoh-gocoh. Kau pun berjalan laju mencapai cawan dan membuka peti ais. Dan tangan kiri kau mengambil sebotol air dan meletakkan di atas meja.
Anak-anak kau makan dengan bersungguh-sungguh. Siap sahaja mereka tinggalkan semua dan kau masih di dapur. Mengambil satu pinggan lagi makanan dan kemudian bawa ke suami kau.
Lalu si suami buat-buat terkejut, “eh yang bila balik?” Kau pun senyum, dan kata “makan bang, baru je tadi. Kemain tengok tv sampai tak nampak isteri lalu belakang,”
“Tak makan sekali ke?”
“Tak apa abang makan dulu, saya susukan si kecik ini sekejap,”

Si kecil merengek nak susu

Lalu kau pun ambil si bayi yang elok bermain sendiri. Kau dukung dia perlahan-lahan dan dia pun senyum kepada kau. Kau pun ambil dia dan tekupkan di dada kau sampai dia kenyang.
Abang dan kakaknya sudah pun sibuk bermain bising-bising. Lalu kau pun bangun, bersihkan lampin dan lap badan si kecil ini dengan tisu basah. Salinkan baju dan tidurkannya di katil comel di tingkat atas.
Siap sahaja semua. Suami kau pun bangun dan letakkan pinggan di singki dapur. Sambil melambai anak-anak yang lain untuk naik tidur. Kau pun kemaskan meja makan. Kemaskan singki. Sampai kau sendiri lupa makan.
Kemudian, kau capai beg yang kau tinggalkan di pintu. Bawa naik ke atas. Buka pintu bilik dan lihat suami kau sudah berdengkur. Lalu kau kembali berpaling dan melihat bilik anak-anak bujang jantan kau, oh sudah juga tidur.
Anak dara kau pula masih duduk di meja study. Lalu kau masuk dan beri salam. Dan cium dahinya. Dia pun peluk kau mengucap selamat malam.
Kau kembali ke bilik. Letakkan barang. Menjenguk si kecil dan masuk ke bilik air untuk bersihkan diri. Kau pun dapat rehat untuk baring sekejapan.
Belum dua jam, si kecil sudah merengek mahu tambah susu. Lalu kau bangun lagi. Susukan lagi. Hinggalah jam lima pagi, kau bangun sekali lagi.
Terkecoh-kecoh siapkan sarapan abang, kakak, adik untuk ke sekolah. Semak buku, semak beg seorang demi seorang. Kemudian berlari gantungkan baju supaya anak-anak kau tidak terlepas tali tie, tudung kemas dan segala yang perlu dilekatkan sekali bersama baju-bajunya.
Semuanya sudah tersedia, kau pastikan semua ke sekolah menaiki bas dan van masing-masing. Barulah kau berlari ke bilik air. Jika suami kau yang masih termenung di dalamnya, maka kau terpaksa guna bilik air anak. Lalu bersiaplah dan menghantar si kecil ke rumah pengasuh dan kau laju menuju ke tempat kerja.

Terima kasih wahai semua isteri terhebat

Itulah yang kau ulang beberapa tahun hingga anak-anak kau sudah masuk sekolah menengah, dan akhirnya ke university.
Hari ini, selepas 30-40 tahun kau tinggalkan semua itu tanpa pernah merungut sekali pun, kau sedar yang Tuhan menyayangi kau dengan memberi anak-anak yang sama seperti kau. Pandai melayan suami juga pandai menjaga kau dan suami kau.
Yang satu masa dulu kaulah perempuan paling selekeh di tempat kerja kerana mengurus itu ini. Perempuan yang bergegas pulang walau kadang-kadang memang lebih lewat dari orang lain.
Yang kau tahu, kau perempuan. Yang perlu bantu keluarga kau. Bantu isi rumah dengan pekerjaan kau. Yang mana di dalam rumah juga kau yang perlu bekerja tanpa gaji. Yang kau yakin, semua itu akan dibalas Tuhan suatu hari ini.
Terima kasih wahai semua isteri-isteri yang hebat bekerja di dalam dan luar rumah. Semoga Tuhan sentiasa membayar jasa baik kalian kepada suami dan anak-anak seperti kami dengan bayaran sebaik-baiknya seperti kalian melayan dan menjaga kami dengan sebaik-baiknya.
Terima kasih!
Khairul Hakimin Muhammad
Suamimu perfect 10. Kahkah.
Oleh itu, suami diharapkan dapat sama-sama membantu menguruskan keluarga, jangan hanya diserahkan bulat kepada isteri.

Tiada ulasan:
Write ulasan