Selasa, 30 Ogos 2016

‘Kami Redha Pemergian Azim’ – Keluarga Mangsa

PUTRAJAYA –  Abang kepada pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), Allahyarham Azim Hakimi Abu Shuja berkata dia redha dengan berita kematian adiknya itu walaupun suasana pilu masih menyelubungi keluarganya. 


Pelajar Maut Jatuh Bangunan, Niat Bantu Ambil Beg Rakan

Muhammad Aliff, 28, mengetahui berita mengejutkan itu selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah.
“Saya terus bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan. Biarpun ia merupakan suatu perkara yang  teramat-amat sedih, saya tetap menerima takdir ini dengan penuh redha,” katanya.
Aliff memberitahu adiknya itu seorang yang pendiam dan suka duduk di rumah pada masa lapang, namun amat gemar membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan.
“Dia tidak pernah katakan ‘tidak’ setiap kali ahli keluarga atau saudara-mara meminta pertolongan. Dia memang seorang yang ringan tulang.
“Tidak pernah dia menyusahkan ahli keluarga atau menyakitkan hati kami. Biarpun sedih, kami semua tetap redha dengan ketentuan ini,” kata Aliff.
Ibunya, Zalina Khamis, 53, berkata mangsa yang juga merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu sempat mengulang kaji pelajaran bersama rakan kerana akan mengambil peperikanaan PT3 tidak lama lagi.
“Azim banyak mendiamkan diri dan malam tadi, dia sempat mengulangkaji pelajaran bersama-sama rakannya.
“Pagi tadi, dia tidak banyak bercakap, namun kelakuannya masih seperti biasa, malah dia sempat melambaikan tangan selepas saya menghantarnya ke sekolah,”katanya.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi, Azim Hakimi, 15, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah selepas cuba mengambil beg sekolah rakannya yang dibuang rakan mereka.
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 5 petang tadi, di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga terdekat, guru dan rakan sekolah.
Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya (HPJ) sebelum disembahyangkan di surau berdekatan kawasan perkuburan. 

Tiada ulasan:
Write ulasan