Rabu, 24 Ogos 2016

Jodoh dua benua

BOTA - Pertemuan mereka bermula apabila masing-masing mahu mempelajari bahasa Melayu dan bahasa pertuturan Hungary hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Itulah antara kisah pertemuan pasangan suami isteri berlainan bangsa dan agama, Elsuraya Mohamed, 45, dan suaminya Adam Abdullah atau Barak Norbert, 32.

Elsuraya wanita yang berasal dari Kampung Telok Bakong, di sini, tidak menyangka pengembaraannya ke Eropah Tengah pada 2011 mempertemukan dia dan suaminya.

Menceritakan kembali detik manis itu, Elsuraya berkata, permulaan perkenalan mereka hanya melalui alam maya apabila dia mencari kaedah untuk mempelajari bahasa Hungary.

“Penduduk Hungary tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris menyebabkan agak sukar berkomunikasi dengan mereka setiap hari.

“Jadi saya mengambil pendekatan mahu mempelajari bahasa itu bagi memudahkan kehidupan seharian saya sepanjang berada di sana,” katanya.

Jodoh dua benua

Katanya, jika mahu mengambil kelas bahasa Hungary dia perlu membayar sejumlah wang untuk tempoh tertentu.

“Namun saya bernasib baik apabila Adam mahu mengajar saya dan dia mahu saya ajar bahasa Melayu kepadanya memandangkan ketika itu dia sering membeli benih orkid yang ditanamnya dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Kami bersetuju untuk berjumpa di sebuah pasar raya dan ketika pertemuan itu Adam memberikan saya kek yang dibuat ibunya.

“Kek itu amat sedap dan saya meminta untuk dipertemukan dengan ibunya supaya dapat belajar membuat kek memandangkan ketika itu saya bekerja dalam bidang masakan sementara saya ada di sana,” katanya.

Elsuraya berkata, sejak itu bermulalah pembelajaran bahasa antara satu sama lain selain terjalin sebuah ikatan kekeluargaan apabila keluarga Adam menerimanya dengan baik.

“Ibu Adam tak kisah saya mahu belajar memasak daripadanya dan saya juga turut memasak makanan Malaysia untuk dijamu kepada mereka.

“Adam sendiri amat menyukai nasi goreng kampung yang saya buat sehingga akhirnya dia melamar saya pada 2014.

“Setelah sebulan lebih Adam memeluk Islam, kami mengikat tali perkahwinan atas restu kedua-dua keluarga,” katanya.

Katanya, selepas beberapa bulan berkahwin mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia iaitu ke kampungnya di Telok Bakong sehinggalah sekarang.

“Sekarang Adam sudah boleh bercakap bahasa Melayu walaupun ada sesetengahnya dia kurang faham. Komunikasi antara ahli keluarga saya termasuklah ibu saya sudah tidak ada masalah berbanding ketika awal kami pulang dulu.

“Dari segi makanan juga Adam masih lagi dalam proses penyesuaian dan tidak boleh menerima makanan lain selain nasi goreng kerana dia lebih suka makan ayam atau daging,” katanya.

Kata Elsuraya, mereka sering menjadi perhatian umum tidak kira ke mana sahaja mereka pergi namun perkara itu sudah biasa.

Tiada ulasan:
Write ulasan