JKM jawab isu penamatan bantuan

TANAH MERAH - Penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari Kampung Batu 5 Dalam, Bukit Ros, di sini, ditamatkan bantuan bulanan kerana sudah tidak lagi bekerja yang menjadi syarat utama untuk mendapatkan elaun tersebut.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Tanah Merah, Wan Azahari Wan Muhammad berkata, bantuan EPC untuk Abdul Aziz Ali, 42, tidak disambung selepas borang kaji semula yang dikembalikan kepada pihaknya, tidak disertakan pengesahan dia masih bekerja.

Menurutnya, Abdul Aziz yang menghidap sindrom down, mula menerima EPC selepas disahkan bekerja membantu ibunya di kebun getah sejak 2008, namun gagal mengesahkan dia masih bekerja apabila kaji semula dibuat Februari lalu.

JKM jawab isu penamatan bantuan

“Kita minta dia dapatkan semula pengesahan majikan atau pengerusi JKKKP pada borang JKM 20 (kaji semula) kerana itu syarat utama, tetapi sampai sekarang borang itu tidak dikembalikan.

“Kita tidak boleh sambung (EPC) kalau tiada pengesahan tersebut. Hasil semakan dengan ibu dan kakak penerima, dia (Abdul Aziz) sudah tidak bekerja,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penamatan bantuan Abdul Aziz yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook hingga menyebabkan pelbagai tuduhan dan anggapan buruk dilemparkan kepada JKM.

Wan Azahari berkata, pengesahan majikan atau pengerusi JKKKP merupakan prosedur penting kerana syarat utama layak menerima EPC ialah OKU terbabit bekerja dengan pendapatan daripada RM30 hingga RM1,200 sebulan.

Katanya, apabila disahkan Abdul Aziz tidak lagi layak menerima EPC, pihaknya menyerahkan borang JKM 18 untuk permohonan bantuan lain disediakan JKM bagi golongan OKU yang tidak bekerja.

"Malangnya, borang itu juga tidak dikembalikan semula menyebabkan kita tidak dapat memproses permohonan untuk bantuan lain, yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk Abdul Aziz.

“Penerima bantuan JKM perlu ingat, bantuan bulanan diberikan itu bukan untuk sepanjang hayat kerana setiap tahun kita akan buat semakan atau kaji semula kelulusan diberikan sebelum ini. Sikap kebanyakan penerima bantuan bulanan, mereka ‘main-main’ bila kita minta maklumat (kaji semula) dan bila tak dapat duit kerana bantuan ditamatkan, baru kelam-kabut,” katanya.

Tambah Wan Azahari, dengan pelaksanaan kaji semula secara automatik melalui sistem e-Bantuan, pihaknya tidak dapat menyambung bantuan diberikan jika penerima gagal mengemas kini maklumat seperti diminta.

“Setiap kelulusan bantuan hanya untuk 12 bulan dan sebelum tamat tempoh itu, kita serah borang untuk lanjutkan bantuan. Kalau penerima tak hantar balik, kita tak boleh sambung (kelulusan).

“Malah, mengikut peraturan baru JKM, penerima bantuan yang tidak kembalikan semula borang JKM 20 ini, bantuan mereka boleh ditamatkan serta-merta,” katanya

0 comment... add one now