Isu FAM: TMJ Serah Pendrive Kepada KJ

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menyerahkan pemacu simpanan dan mudah alih (pendrive) yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.



Menurut kenyataan ringkas di laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail dilaporkan menerima kunjungan Khairy di Istana Bukit Pelangi, Johor Baru pada Jumaat.

Menerusi pertemuan itu, Tunku Ismail memutuskan untuk menyerahkan pendrive tersebut kepada Khairy kerana beliau tidak lagi mempunyai sebarang masalah dengan FAM.

"Baginda (Tunku Ismail) turut menjelaskan bahawa FAM bukanlah masalahnya. Baginda hanya ingin menjaga kelab kecilnya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT)," demikian menurut kenyataan itu.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak JDT berkata, dalam pertemuan itu mereka berbincang mengenai program pembangunan belia selain berkongsi pendapat mengenai isu semasa terutama berkaitan sukan bola sepak.

Pada Julai lalu, Tunku Ismail mendakwa memiliki pendrive yang menyimpan pelbagai maklumat berkaitan FAM yang diperoleh daripada rakan-rakan yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Susulan pendedahan tersebut, Khairy telah mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mencari satu formula baharu kepada penyelesaian masalah yang melanda badan induk bola sepak negara itu.

Pada 15 Ogos lalu, FAM memutuskan untuk mengekalkan Tengku Abdullah selaku presiden sehingga tarikh kongres baharu FAM dilangsungkan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, badan induk bola sepak negara itu akan mempercepatkan Kongres FAM yang dijadual berlangsung pada 2018 kepada tahun hadapan.

Ini sekali gus memberi laluan kepada pemilihan semula barisan kepimpinan FAM dengan barisan sedia ada termasuk presiden kekal menyandang jawatan masing-masing sehingga tarikh kongres diumumkan.

0 comment... add one now