Faye nak saman, JAIS jawab terpulang

Subang Jaya: Pelakon Faye Kusairi bercadang meneruskan hasrat menyaman Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jika masih tiada sebarang perkembangan terbaru berhubung kes kediaman keluarganya yang diserbu pihak terbabit sebelum ini.

Image result for Faye Kusairi

Bagaimanapun, buat masa ini, Faye, 29, masih berbincang dengan peguamnya berhubung perkara itu.

"Saya perlu mendapatkan nasihat peguam terlebih dulu sebelum meneruskan tindakan saman. Pada masa sama, saya belum putuskan bilakah tarikh yang sesuai untuk saya menyerahkan surat saman kepada JAIS.

"Insya-Allah, jika berjalan lancar saya akan mengadakan sidang media pada September ini untuk bercakap mengenai tindakan susulan yang akan diambil berhubung kes ini," katanya.

Faye berkata, dia terkilan kerana masih tiada perkembangan berhubung kes berkenaan selepas lima bulan kejadian itu berlaku.

"Saya sudah menghubungi JAIS banyak kali, tetapi difahamkan pihak mereka masih menunggu jawapan daripada panel yang dilantik.

"Sedangkan sebelum ini mereka memaklumkan siasatan dalaman hanya mengambil masa tiga bulan, tetapi sekarang sudah lima bulan dan saya sudah tidak boleh bersabar lagi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Faye mendakwa terkilan dengan tindakan pihak terbabit yang menyerbu kediaman keluarganya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada awal pagi 10 April lalu berikutan aduan dia dikatakan berkhalwat di rumah itu.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, pihak terbabit didakwa memecahkan jeriji pintu rumah keluarganya sebelum membuat serbuan.

Ketika kejadian, rumah terbabit didiami ibu, bapa dan adik lelakinya, manakala Faye tinggal berasingan bersama rakannya.

Berikutan kejadian itu, Faye turut membuat dua laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya dan keluarga.

Sementara itu, Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, terpulang kepada pelakon berkenaan sama ada untuk meneruskan saman atau tidak kerana dia mempunyai hak berbuat demikian.

Katanya, pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan prosedur berdasarkan aduan dan sudah mengambil kira semua aspek berkaitan.

"Tidak ada masalah jika dia hendak bawa ke mahkamah, kita tidak boleh halang. Kita ambil tindakan mengikut aduan dan proses sepatutnya," katanya.

0 comment... add one now