Sabtu, 6 Ogos 2016

Debaran Menanti Kelahiran Anak. Bakal Ayah Ambil Perhatian 5 Hal Ini!

Biasanya bagi kelahiran pertama, kaum lelaki begitu teruja untuk menyambut kelahiran anak. Namun ada juga tidak berpeluang atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Justeru itu, bagi kaum bapa, berikut adalah tip sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayi yang bakal lahir.



1. Buat persediaan
Bukan isteri sahaja perlu bersedia untuk menghadapi saat bersalin, lelaki juga harus membuat persediaan rapi. Ini kerana pada hari bersejarah itu, zuriat keturunan akan lahir sekali gus anda akan memikul gelaran ayah. Kelahiran anak ini yang akan menceriakan kehidupan anda.

2. Tiba Masanya
Menjalani kehidupan sebagai bapa tentu sangat teruja di mana bukan anak semua orang berpeluang merasa nikmat ini. Ada pasangan berkahwin, namun tidak dikurniakan anak dan seharusnya anda perlu bersyukur dengan kelahiran seorang anak.
Semasa isteri di dewan bersalin, anda seharusnya memberi sokongan moral agar isteri dapat mengurangkan kesakitannya tatkala melihat anda di sisi. Jangan pentingkan diri saat genting ini kerana sesungguhnya isteri sedang bertarung nyawa melahirkan zuriat untuk anda.

3. Bukan Perkara Lucu
Ada ke suami yang beranggapan kesakitan isteri hendak bersalin sebagai perkara lucu? Oh, jangan main-main perkara hidup dan mati ini! Semasa di dewan bersalin, suami mesti cuba merasakan kesakitan bersalin yang sama seperti menghadapi sakaratul maut.
Isteri berlawan kekuatan emosi dan mental dalam menghadapi kesakitan dan ketika inilah anda harus bersedia dari semua aspek. Kadang-kala, isteri hanya perlukan sedikit kata-kata anda di saat dia menanggung kesakitan.

4. Jangan Terlalu Emosi
Bagi lelaki bergelar bapa, ia satu detik paling indah dalam kehidupan. Begitu juga bagi seorang wanita yang pertama kali mengetahui dirinya mengandung, ia satu memori indah. Namun kelahiran bayi bukan semudah mengandung kerana pelbagai komplikasi boleh berlaku.
Ada kes sehingga membawa kepada kematian. Ada juga gejala kemurungan selepas bersalin dan semua ini harus anda hadapi dengan berlapang dada.
Bila melihat isteri kesakitan atau kemurungan selepas bersalin, jangan ditambah beban isteri dengan kata-kata menyakitkan hatinya. Sebagai lelaki, andalah yang harus mengawal diri dan usah emosi.

Setiap kelahiran biasanya tidak sama. Ada orang mungkin menjalani pembedahan bagi anak pertama dan melahirkan anak secara normal bagi kelahiran kedua dan seterusnya.
Jangan beranggapan bahawa semua kelahiran adalah sama kerana setiap satu berbeza. Begitu juga risikonya. Jangan biarkan isteri sendirian di saat melahirkan dengan alasan yang tidak logik atau tidak munasabah kerana isteri perlukan sokongan anda di saat bersalin.

5. Anda Lebih Bertanggungjawab
Kelahiran anak membawa erti kebahagiaan buat pasangan kerana ia satu memori manis dalam kehidupan suami isteri.
Ini bermakna, anda lebih perlu bertanggungjawab terhadap pasangan dan zuriat yang sudah lahir ke dunia ini. Buanglah segala sikap buruk yang selama ini membelenggu diri kerana ia akan mengakibatkan isteri merana dan anak-anak terabai.
Tahukah anda, menjadi bapa adalah satu pengalaman hebat dalam kehidupan seorang lelaki.

Tiada ulasan:
Write ulasan