Rabu, 24 Ogos 2016

Dadah: Buruh dipenjara 12 tahun, kena 10 sebatan

KOTA BHARU - Seorang buruh dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, tadi, selepas mengaku salah memiliki 8.05 gram heroin.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Zamani Ab Ghani, 25, dari Kampung Tok Likong, Kubur Beris Besar, Bachok.

Dadah: Buruh dipenjara 12 tahun, kena 10 sebatan

Tertuduh didakwa memiliki dadah berkenaan di kawasan semak di Kampung Telok, Bachok, pada jam 4 petang, 16 Jun lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam awam memohon hukumannya diringankan dengan alasan usia yang masih muda serta menanggung seorang anak dan isteri.

"Tertuduh juga sudah insaf dan menyesali perbuatannya itu serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu," katanya.

Pegawai pendakwa, Siti Yusnita Yaacub, bagaimanapun memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajara kepada tertuduh dan orang lain.

Sementara itu, beberapa ahli keluarga tertuduh yang hadir menangis sejurus Ahmad Bazli membacakan hukuman dan sempat memeluk tertuduh sebelum dibawa polis untuk dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini.

Tiada ulasan:
Write ulasan