Sabtu, 6 Ogos 2016

Calon SPM Berdepan Gantung Sampai Mati , Edar Dadah

KUALA TERENGGANU - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, kelmarin, kerana mengedar dadah jenis methamphetamine, Julai lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun, dari Kampung Kedai Buluh, di sini, didakwa mengedar dadah tersebut iaitu seberat 1425.65 gram (berat kasar) di sebuah rumah di Kampung Kedai Buluh, di sini, kira-kira jam 11 pagi, pada 25 Julai lalu.

Calon SPM didakwa edar dadah

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan sebelum mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Selain itu, sebarang jaminan tidak ditawarkan.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan seorang pelajar lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercayai pengedar pil kuda di sekitar kawasan Kuala Terengganu dan Chendering, di sini, ditahan bersama 12,900 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM193,500 di sebuah rumah di Kampung Dalam Kedai Buloh, di sini, Isnin lalu.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil risikan dan maklumat dibuat sejak tiga bulan lalu.

Semasa serbuan, suspek dijumpai sedang lena tidur di dalam salah sebuah bilik dan selepas memperkenalkan diri, polis menjalankan pemeriksaan di dalam bilik tersebut sebelum suspek menunjukkan tiga bungkusan yang berada di belakang rak kayu.

Tiada ulasan:
Write ulasan