Rabu, 3 Ogos 2016

"Auntie, You Tak Malu Ke Ambil Gula, Krimer Dengan Stirrer Itu Banyak²?'

Jadi, tadi kami pergilah ke IKEA Cheras sebab nak beli barang untuk rumah baru. Selepas beli barang, kami pun teringin nak makan aiskrim. Jadi kami pun belilah aiskrim. Agak terkejut di situ sebab beli aiskrim kena guna syilling token. Tetapi bila mengenangkan orang Malaysia yang ada budaya suka ambil lebih-lebih 'sebab dah bayar', rasa macam bagus jugalah ada token itu. Tetapi masih kecewa juga sebab mentaliti masyarakat kita masih begitu. 


Sambil-sambil makan aiskrim, datang dua aunties pergi songlap paket-paket gula, krimer dengan kayu pengacau kopi. Sekali ambil, segenggam terus. 

Kami pandang saja perbuatan mereka itu. Sekali, dua kali mereka mengulangi perbuatan mereka itu. Kakitangan IKEA refill lagi paket-paket di situ. Kali ketiga, salah seorang dari mereka berdua perasan yang kami sudah menjeling-jeling tajam. Jadi, dia pun ambil sepeket saja gula. 

Kami pandang saja mereka berdua sambil mereka minum kopi itu. Kedua-dua mereka sudah tidak senang duduk sebab menyedari kami memerhatikan mereka tanpa mengerlip mata. Paling tak boleh blah, aunties itu suruh budak-budak sekolah di situ curikan kayu pengacau kopi untuk dia. 

Masa itu Acik dah 'panas', nak meletup pula Acik tengok budak-budak itu ambil segenggam kayu-kayu pengacau itu. Maka Azmira pun buatlah seperti apa yang cikgu Azmira selalu buat. Dengan suara cikgu yang kuat ini, saya pun pergi ke meja dia. 

"Auntie, you tak malu ke ambil gula, krimer dengan stirrer itu banyak-banyak? You ambil berulang kali sampai tiga kali, banyak pula tu? Habis tu, orang nak minum kopi nak guna apa?!" 

Terkujat makcik itu. Mula-mula dia menjeling tetapi masih duduk di mejanya. Kemudian bila dah banyak mata yang memandang-mandang, dia terus blah. Tetapi budak-budak sekolah yang telah diarahkan untuk mencuri bagi pihak dia itu tetap pergi ambil segenggam lagi kayu pengacau itu. 

"Adik, kau jangan nak ambil banyak-banyak untuk auntie itu. Ini namanya mencuri!" 

Budak-budak sekolah itu tersipu-sipu kemudian terus blah juga. 

Jadi, pengajarannya di sini, walaupun sudah bayar duit kopi itu, bukan bermaksud boleh ambil 80 paket gula dan bawa balik. Kata marah kalau orang curi duit rakyat, tetapi diri sendiri curi hak orang lain tak apa pula? Jangan sampai ambil paket gula pun kena guna token nanti. - Azmira Amran 

Tiada ulasan:
Write ulasan