Ashraf nafi hubungi bekas kekasih

Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit Ashraf Muslim menafikan dakwaan dia kembali menghubungi bekas kekasihnya Sherry Ibrahim selepas pelakon wanita itu putus cinta dengan pelakon Fattah Amin dua minggu lalu.

Image result for ASHRAF MUSLIM

Ashraf, 35, berkata, dia sudah lama tidak berhubung dengan Sherry selepas mereka putus cinta beberapa tahun lalu.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu cerita itu daripada isteri-isteri saya. Mereka berkongsi cerita itu dalam kumpulan WhatsApp kami. Memandangkan ia adalah gosip, jadi bukan satu masalah besar. Tidak ada apa perlu dibangkitkan.

"Tambahan pula cerita yang tersebar itu tidak betul sama sekali. Kalau nak tahu selepas kami berpisah beberapa tahun lalu, saya tidak pernah menghubunginya sehingga sekarang. Lagipun kalau difikir balik tidak ada kepentingan untuk saya berbuat sedemikian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ashraf, perkara yang tidak betul tidak perlu diperbesarkan kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

"Saya tahu perkara ini sekadar gosip jadi saya buat tak tahu saja. Kalau dilayan semakin menjadi-jadi pula nanti.

"Paling penting apa yang berlaku antara mereka tidak ada kaitan dengan saya. Itu hal mereka dan begitu juga dengan saya yang sudah mempunyai kehidupan sendiri," katanya.

Dalam masa sama, Ashraf yang juga pelakon drama Mr Boss Miss Stalker bersyukur apabila dia kini diberi kehidupan yang bahagia bersama dua isteri dan tiga anak.

Ditanya adakah dia dan Sherry bakal bekerjasama dalam satu drama, Ashraf berkata, banyak perkara perlu diambil kira.

"Saya tak boleh menerima tawaran begitu saja atau semata-mata nak meraih perhatian, sebaliknya perlu melihat kesesuaian watak.

"Tambahan pula saya perlu memikirkan banyak perkara, bukan saja dalam soal menjaga hati tetapi dari segi skrip itu juga," katanya.

0 comment... add one now