Walaupun Anak Orang Kaya, Mior Asyraf Tak Malu Jual Burger

PETALING JAYA: Seorang pemuda mampu meraih pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan dengan berniaga burger di tepi jalan.

Mior Asyraf Hizaq Zulkefli, 24, berkata beliau mula membuka gerai burgernya di Kota Damansara sejak lapan tahun lalu usai menamatkan pelajaran sekolah menengah.
Katanya, beliau pernah memperoleh pendapatan bersih RM12,000 sebulan hasil jualan burgernya di gerai, tetapi jumlah itu bukanlah diperoleh setiap bulan dan kebiasaannya, purata pendapatan bulannya ialah RM7,500.
“Saya pilih untuk berniaga sebab senang dapat duit setiap hari. Memanglah pada pandangan orang meniaga burger ini macam tidak ada keuntungan, tetapi apa yang saya boleh beritahu, cubalah berniaga,” katanya.
Mior Asyraf berkata hasrat untuk membuka gerai burger bermula apabila melihat bapanya memulakan perniagaan dengan menjalankan perniagaan burger, sebelum menceburkan diri ke bidang kontraktor.
Bercerita mengenai detik sukar dalam perniagaannya, Mior Asyraf mengakui pernah dapat RM45 saja hasil berniaga.
“Saya masih ingat, pada 9 September 2014, jualan untuk satu malam hanya RM45 saja. Tetapi, pada esoknya, Tuhan bagi rezeki jualan burger RM700.
“Sekarang ini, hasil jualan burger sehari boleh bertahan tiga beg iaitu lebih kurang RM500 sehari. Manakala modal dikeluarkan untuk ‘rolling’ perniagaan pada esoknya hanya RM150 saja,” katanya kepada FMT.
Katanya, dalam usaha untuk terus mengembangkan perniagaan burgernya, Mior Asyraf merancang untuk menceburi perniagaan trak makanan (food truck).
Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui pada tiga tahun pertama menjalankan perniagaan, beliau tidak serius dalam bisnes makanan itu.
“Semasa umur 18 tahun, keadaan tidak stabil. Saya berjiwa muda, bila dapat untung, esoknya saya tidak akan bukan gerai. Tetapi, selepas tiga tahun berniaga, kesedaran untuk lebih serius dalam perniagaan wujud dengan sendiri.
“Saya akui tidak ada KWSP, tetapi mencarum di ASB dan caruman untuk syarikat. Saya sendiri mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama Asyraf Hizaq Resources,” katanya.
Mior Asyraf berkata walaupun berniaga di tepi jalan, beliau tidak terlepas daripada mendapatkan suntikan pelalian kepialu.
“Dalam 365 hari, boleh datang ke gerai untuk lihat berapa hari saya bercuti, malah pada raya ketiga saya sudah menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.
Terpilih mewakili sekolah sukan Arsenal
Mior Asyraf berkata dia aktif dalam bidang sukan bola sepak hingga pernah terpilih mewakili negara untuk pasukan bawah 17 tahun.
Malah, pencapaian yang paling membanggakan buat dirinya dan keluarga adalah apabila berjaya terpilih mewakili Arsenal Soccer School.
Namun, hasrat menjadi pemain bola sepak profesional terhenti apabila beliau mengalami kecederaan ligamen di bahagian lutut kirinya.
Rakan pinjam duit di tengah bulan
Mior Asyraf turut mengakui tidak terlepas daripada persepsi negatif daripada masyarakat yang memandang perniagaan burger sebagai tidak menguntungkan.
“Ada kawan bekerja di bidang yang gah, tetapi hakikatnya apabila tengah bulan mereka akan pinjam duit dengan saya,” katanya.
Beliau berkata, tidak salah remaja bekerja makan gaji, tetapi mereka juga perlu berani mencuba menjalankan perniagaan sendiri.
“Jujur, amanah, setia dan ikhlas perlu ada pada diri beliau yang hendak menjalankan perniagaan terutamanya dalam bidang makanan.
“Ramai pelanggan yang cerewet tetapi sebagai peniaga kita harus sentiasa tersenyum dan anggaplah permintaan mereka sebagai amal jariah,” katanya.

0 comment... add one now