Trak Rempuh Orang Ramai Di Nice, Perancis, Lebih 70 Maut

PARIS: Seorang penyerang telah mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan 100 yang lain apabila dia memandu sebuah trak pada kelajuan tinggi ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan bunga api Hari Bastille di bandar French Riviera di Nice lewat hari Khamis, media tempatan memetik pegawai sebagai berkata.

Polis telah menembak mati pemandu terbabit, yang memandu pada kelajuan tinggi pada jarak lebih 100 meter di sepanjang kawasan pinggir laut terkenal, Promenade des Anglais sebelum merempuh kumpulan penonton, kata sub-pengawas serantau, Sebastien Humbert kepada radio France Info.

Penyiar tempatan memetik pegawai sebagai berkata jumlah kematian awal adalah 73. Pegawai lain meletakkan bilangan yang cedera ke angka ratusan.


Ahli parlimen tempatan Eric Ciotti memberitahu France Info bahawa lebih ramai lagi mungkin meninggal dunia. Pegawai-pegawai lain meletakkan bilangan yang cedera sekurang-kurangnya 100 orang dan mungkin lebih.

"Ia adalah satu kejadian seram," kata Ciotti, sambil memberitahu trak itu telah memecut di sepanjang kaki lima yang mengadap Mediterranean, merempuh ratusan orang awam, sebelum dihentikan oleh polis.

Humbert menyifatkannya sebagai satu serangan jenayah yang jelas, walaupun pemandu itu belum dapat dikenal pasti. Penduduk di bandar Mediterranean dekat dengan sempadan Itali dinasihatkan supaya berada di dalam rumah masing-masing.

Tiada sebarang tanda atau petunjuk berlakunya serangan lain.

Lelaki itu telah melepaskan tembakan kepada orang ramai, ketua kerajaan tempatan, Christian Estrosi memberitahu BFM TV, dan senjata serta bom tangan ditemui di dalam trak itu selepas dia dibunuh.

Lapan bulan lalu, militan Negara Islam (IS) telah membunuh 130 orang di Paris pada 13 November.

Pada Ahad, Perancis telah menarik nafas lega kerana kejohanan bola sepak Euro 2016 yang berlangsung selama sebulan berakhir tanpa sebarang serangan.

Polis menafikan khabar angin di media sosial bahawa terdapat mangsa yang dijadikan tebusan.

Serangan menggunakan kenderaan telah diguna pakai oleh ahli-ahli terpencil kumpulan militan pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya di Israel dan juga di Eropah, namun tidak pernah memberi kesan yang amat buruk seperti ini.

Seorang wanita memberitahu France Info bahawa dia dan lain-lain melarikan diri dalam ketakutan.

"Lori itu datang dalam bentuk'zig-zag' sepanjang jalan. Kami berlari ke sebuah hotel dan bersembunyi di dalam tandas bersama ramai orang."

Seorang lagi wanita memberitahu stesen televisyen itu dia berlindung di sebuah restoran di kawasan pejalan kaki dengan kira-kira 200 orang yang lain, di mana keadaan kembali tenang kira-kira dua jam selepas kejadian.

Wartawan Nice-Matin, Damien Allemand melaporkan dari tempat kejadian: "Orang ramai lari bertempiaran. Keadaan panik. Ia menuju dan merempuh ke arah orang ramai. Terdapat mangsa berlumuran darah. Semestinya ramai yang cedera."

Akhbar itu juga menyiarkan gambar trak itu yang rosak pada jarak jauh, yang dikatakan dipenuhi peluru dan gambar-gambar mangsa yang cedera diberi bantuan kecemasan.

Ketua kerajaan serantau, Estrosi telah memberi amaran berhubung risiko serangan militan Islam di rantau ini, berikutan pertumpahan darah di Paris dan Brussels sejak 18 bulan yang lalu.

Bandar ini, dengan jumlah penduduk kira-kira 350,000 orang telah menyaksikan beberapa penduduknya yang beragama Islam pergi ke Syria untuk berjuang.

Presiden Perancis Francois Hollande, yang berada di selatan Perancis pada masa serangan bergegas kembali ke pusat krisis nasional di Paris beberapa jam sebelum itu berkata bahawa pelaksanaan tempoh darurat selepas serangan Paris pada November tidak akan dilanjutkan apabila ia tamat pada 26 Julai.

"Kami tidak boleh melanjutkan perintah darurat selama-lamanya, ia tidak masuk akal. Ini bermakna kita tidak lagi menjadi sebuah republik dengan kedaulatan undang-undang digunakan dalam semua keadaan," kata Hollande kepada wartawan dalam satu temu bual Hari Bastille.

Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve, dijangka akan berada di, menurut sumber di kementerian itu.

0 comment... add one now