Rabu, 27 Julai 2016

'Tiada Orang Lihat Pak Yus Sebagai Pelakon' - Sabri Yunus

PETALING JAYA: Pengarah Sabri Yunus berkata, dia berpuas hati dapat mencungkil sisi berbeza Allahyarham Pak Yus (Jambu) sebagai pelakon menerusi filem Dukun Doktor Danisebelum pelawak itu meninggal dunia pada 30 November tahun lalu.
Sabri berkata, menerusi watak sebagai Chot dalam karya berkenaan, Pak Yus berjaya membuktikan dirinya bukan sahaja mampu melawak tetapi mempunyai potensi besar dalam melakonkan watak lebih serius.

"Saya mengenali arwah sejak dia menyertai musim pertama Raja Lawak dan saya lihat dia mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai pelawak tetapi pelakon.

"Saya ambil Pak Yus berlakon dalam filem ini kerana yakin ada sesuatu dalam dirinya yang belum pernah penonton lihat.

"Tiada yang melihat dia sebagai seorang pelakon sebelum ini tetapi dalam Dukun Doktor Dani dia membuktikan dia bukan hanya pelawak," katanya kepada mStar Online.
Sabri ditemui pada majlis tayangan perdana Dukun Doktor Dani yang diadakan pada malam Isnin.

Selain Pak Yus, ia juga menampilkan barisan pelakon seperti Taufik Batisah, Fasha Sandha, Amerul Affendi, Raysha Risroze dan Khatijah Tan.

Ia bakal menemui penonton dipawagam bermula 28 Julai ini.

Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas dan Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.
Dalam pada itu, Sabri berkata, dia terkejut komitmen ditunjukkan Pak Yus terhadap filem berkenaan selain menghafal setiap dialog diberikan.

"Sudah banyak kali saya bekerja dengannya termasuk dalam Karut Komedia, dia bukan jenis yang hafal dialog tetapi dalam Dukun Doktor Dani dia berbeza.

"Penghayatan diberikan juga cukup cantik tambahan pula dia mempunyai latar budaya yang sangat tinggi menjadikan watak Chot itu sesuai dengannya.

"Walaupun dia sudah tiada tetapi sebagai rakan dan pengarah saya bangga melihat hasil lakonannya di layar perak," ujarnya.

Tiada ulasan:
Write ulasan