Rabu, 27 Julai 2016

Suami Terlantar Sakit, Isteri Dahlan Zainuddin Diselar Kerana Gambar Tersenyum

PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Datuk Dahlan Zainuddin, 75, Datin Effa Rizan terkilan dengan tanggapan segelintir pihak yang mempertikaikan dirinya tersenyum dan bergembira ketika suaminya berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Effa, 54, yang juga penyanyi sekitar tahun 70-an itu berkata, dia berbuat demikian kerana ingin memberi kekuatan kepada anak-anaknya yang sedang bersedih dengan keadaan bapa mereka sekarang.
"Ada segelintir pihak mempersoalkan gambar-gambar saya tersenyum dan ketawa ketika suami sedang sakit tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya saya rasakan dalam hati ini.

"Mereka tidak tahu bagaimana saya melihat suami yang terlantar sakit setiap hari.
"Saya senyum dan ketawa semata-mata tidak mahu anak-anak bersedih, jika saya sedih mereka akan putus harapan," ujarnya kepada mStar Online.
Effa dihubungi untuk perkembangan suaminya Dahlan Zainudin yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 22 Julai lalu selepas keadaan kesihatannya kembali merosot.

Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun ketika berada di Perlis bagi menghadiri program berbuka puasa bersama anak yatim.

Tambah Effa, sebagai isteri dan ibu, dia perlu tabah dan reda dalam apa juga kemungkinan yang boleh terjadi pada ketika ini.

"Saya tidak boleh menangis, suami dan anak-anak memerlukan saya. Tiada apa yang saya harapkan selain keajaiban untuk dia pulih kembali.

"Apa pun yang bakal terjadi saya kena reda ketentuannya," ujarnya.

Sementara itu, Effa berkata, suaminya kini diberi ubat tidur selepas keadaan jantung yang masih lemah serta kekurangan oksigen dalam badan.

Bagaimanapun, katanya, doktor masih memantau perkembangan kesihatan penyanyi lagu Kisah Seorang Biduan itu dari semasa ke semasa.

"Dia diberi ubat tidur pada Sabtu lalu dan semalam dia sudah sedar, namun doktor beritahu keadaannya masih lemah dan kurang oksigen.

"Hari ini (Selasa) dia diberi sekali lagi ubat tidur untuk dia berehat. Bagaimanapun doktor beritahu keadaannya lebih baik dari sebelum ini," ujarnya.

Effa turut berterima kasih kepada beberapa rakan artis yang sudi datang menziarah dan memberi kata-kata semangat kepada dia dan anak-anak.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata dan seorang cucu.

Tiada ulasan:
Write ulasan