Ahad, 17 Julai 2016

Selagi dengan Kelantan, jurulatih boleh panggil

TAN Sri Annuar Musa mengingatkan mana mana-mana pemain Kelantan yang mahu bersara daripada mewakili skuad kebangsaan perlu mengumumkan persaraan di peringkat negeri terlebih dahulu.

ANNUAR

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, dalam konteks Kelantan, selagi pemain aktif bermain untuk pasukan, maka selaku ahli gabungan mereka wajib menunaikan obligasi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita tidak boleh buka sebarang ruang yang boleh ditafsirkan kita tidak memberi kerjasama kepada FAM. Kita boleh tegur, kita boleh tidak bersetuju tetapi sebarang tindakan yang menambah kesulitan kepada badan induk itu tidak harus kita lakukan.

“Selagi boleh bermain dengan Kelantan, ertinya dia cergas, layak dan mempunyai kualiti yang membolehkan jurulatih kebangsaan memanggil dia sebagai pilihan. Dia mungkin berumur 40 tahun tetapi kalau jurulatih kata sesuai, dia mesti pergi. Dia tak boleh kata tak nak pergi sebab dah tua, kalau dia kata begitu macam mana dia boleh bermain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Tahunan Kafa Ke-62 di ibu pejabat Sinar Harian Kelantan di Pengkalan Chepa semalam.

Katanya, pendirian itu berlandaskan prinsip sebagai ahli gabungan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu, mereka antara lain perlu menjadi penyumbang pemain kepada pembentukan skuad kebangsaan sepanjang masa.

“Kalau dia bermain dalam liga yang dikendalikan oleh FAM tetapi menutup peluang untuk tujuan tugasan bersama negara, saya fikir tidak wajar sebagai badan gabungan berbuat demikian.

“Kedua, FAM mempunyai hak tertentu dalam statut dan perlembagaan, pemain-pemain wajib pergi untuk bermain apabila dipanggil terutamanya melibatkan perlawanan yang diiktiraf dan dalam kalendar Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan