Scha Alyahya Lebih Bersabar Lepas Tunai Umrah

PETALING JAYA: Pelakon Scha Alyahya memberitahu banyak belajar bersabar dan tidak mudah melenting selepas kembali daripada menunaikan umrah pada Ramadan lalu.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 33, berkata, dia juga lebih menghargai adab dan budaya yang diamalkan masyarakat negara ini jika dibandingkan orang luar yang dianggap lebih kasar.

"Sepanjang 12 hari mengerjakan umrah banyak ujian yang menguji kesabaran terutamanya dari segi adap kerana kita bersama orang luar yang berbeza-beza budaya.
"Kebanyakan mereka tidak suka beratur dan potong barisan suka hati, nak marah pun tidak boleh. Kesabaran itu yang saya bawa balik dan cuba praktis sekarang," ujarnya kepada mStar Online.
Scha ditemui pada majlis pelancaran restoran Rumah Kueh by Rita Rudaini di sini, Ahad. 

Scha menunaikan ibadah umrah pada 12 Jun lalu bersama suami, pengacara Awal Ashaari dan anak mereka Lara Alana serta beberapa ahli keluarga lain.
Bagaimanapun, Scha berkata, dia berasa kagum dengan sikap rata-rata jemaah umrah yang suka bersedekah dan memberi makanan percuma kepada sesiapa sahaja.
"Apa yang saya kagum mereka tidak kedekut dalam bersedekah kerana setiap kali waktu berbuka ada sahaja orang yang bentang tikar dan sedia pelbagai makanan kepada jemaah yang lain.

"Kami juga solat di mana-mana sahaja termasuk di dalam pusat membeli belah jika masuk waktu solat. Keadaan di sana memang tidak pernah saya lihat di tempat-tempat lain," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Awan Dania itu turut bersyukur ibadah umrah sepanjang dua minggu itu berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan dan semuanya berjalan dengan lancar. Lara juga tidak meragam dan ikut sahaja walaupun muka dia merah kerana kepanasan cuaca di sana," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Scha berkata dia bakal mula penggambaran telefilem pada Ogos depan dan sebuah drama bersiri bersama pelakon Alif Satar tidak lama lagi.

0 comment... add one now