Jumaat, 22 Julai 2016

Riza menjual dirinya kepada syaitan – Adik Riza Aziz

Azrene Soraya Abdul Aziz anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menulis catatan pedas di Facebook tentang abangnya, menuai apa yang disemainya kerana ‘menjual diri kepada syaitan’.



“Jika Riza menjual dirinya kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya miliknya, bayangkan hutangnya yang dikumpul bersama syaitan dan yang bakal mereka kumpul lagi itu,” tulis Azrene Soraya Abdul Aziz, seorang perunding imej dipetik Malaysiakini.

Beliau juga berkata, Riza masih dan adalah seorang yang dikasihi oleh keluarganya, walaupun kasih mereka ‘tidak cukup untuk beliau’ dan orang sekelilingnya.

“Dia memilih, seperti orang lain sebelumnya, untuk memiliki kemasyhuran, kekayaan dan sanjungan,” katanya.

Abangnya kini membayar harga kerana dosa yang dilakukannya walaupun Malaysia tidak bersedia untuk memberi keadilan seperti didoakan rakyat tetapi Amerika Syarikat memberikannya, dakwanya lagi.

“Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya kambing hitam keluarga – tetapi itu tidak bermakna saya tidak sayang keluarga saya.

“Orang ramai boleh mengatakan saya kejam untuk apa yang saya tulis hari ini tetapi saya sentiasa menegakkan apa yang sepatutnya dan melakukan apa yang betul, demi kebenaran dan keadilan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi dan ini bermakna melakukan perkara yang tidak popular.

“Saya sering menegaskan bahawa jika Riza menggunakan dan mendapat keuntungan daripada dana yang dicuri dia perlu membayar apa yang dilakukannya itu.

“Jika dia berdiri sebagai proksi atau sebagai pemegang amanah untuk apa yang bukan miliknya atau mana-mana individu yang meminta beliau menjadi ‘anak berbakti’, dia perlu membayar untuk itu,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan