Khamis, 21 Julai 2016

'Rakyat ditipu besar-besaran, dana 1MDB biayai hutang judi'

DS NAJIB PERLU AMBIL CUTI SEBAGAI PM, BADAN BEBAS PERLU SIASAT

Satu dunia dikejutkan sidang media Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (US Department of Justice, DOJ) tengah malam tadi yang menyatakan Kerajaan Amerika Syarikat akan mengambil alih aset bernilai lebih RM4 bilion (USD1 bilion) yang berkait dengan satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). DOJ juga telah menamakan individu-individu yang didakwa terlibat: Riza Aziz (anak tiri kepada Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak), Jho Low, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.



Sidang media DOJ tersebut dengan jelas menyatakan RM4 bilion ini sebahagian dari lebih RM14 bilion (USD3.5 bilion) yang dikenalpasti dilarikan dari badan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara 2009 hingga 2015. Jangkamasa ini bertindih sepenuhnya dengan jangkamasa Dato' Sri Najib memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Memandangkan Perkara 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB yang berkuatkuasa pada ketika wang RM14 bilion itu didakwa dilarikan dari 1MDB meletakkan tanggungjawab meluluskan "komitmen kewangan, penyusunan semula atau sebarang perkara yang melibatkan jaminan kerajaan" di tangan Perdana Menteri, maka saya menggesa Dato' Sri Najib untuk segera memberikan penjelasan kepada Ahli-Ahli Parlimen di dalam satu sidang Parlimen tergempar dalam masa terdekat.

Memandangkan Dato' Sri Najib selaku Perdana Menteri telah memecat beberapa individu-individu yang lantang bersuara mengenai isu 1MDB, termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya menggesa Kabinet untuk menasihatkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menitahkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyiasat tuduhan wang RM14 bilion telah dilarikan dari 1MDB dari 2009 ke 2015 serta mencadangkan agar individu-individu yang terlibat dihadapkan ke mahkamah.

Memandangkan jawatan Dato' Sri Najib sebagai Perdana Menteri memberikan beliau kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan termasuk pejabat Peguam Negara, Polis Di-Raja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan memandangkan isu ini berkait rapat dengan bidang kuasa malah juga jangkamasa beliau memegang jawatan tersebut, saya percaya Rakyat Malaysia mahukan Dato' Sri Najib untuk mengambil cuti sebagai Perdana Menteri agar tidak timbul syak wasangka salahguna kuasa untuk melengah atau menghalang siasatan penuh terhadap isu yang serius ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

Tiada ulasan:
Write ulasan