Khamis, 14 Julai 2016

Proton Untuk Orang Miskin : Ini Penjelasan Mark Adam

PETALING JAYA: Penyanyi Mark Adam menegaskan dia tidak pernah mengutuk atau merendah-rendahkan kereta buatan Malaysia iaitu Proton di laman sosial miliknya yang menjadi viral sejak Rabu.

Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 37, berkata, perkara tersebut dilakukan oleh individu tidak berbertanggungjawab yang menyalahgunakan namanya di Facebook.

"Itu bukan Facebook saya dan saya tidak pernah membuat kenyataan tentang memburuk-burukkan kereta Proton di Facebook.

"Saya sedar kewujudan akaun ini sejak beberapa bulan lalu dan saya rasa individu itu semakin melampau sehingga membuatkan orang ramai percaya.

"Saya sudah periksa Facebook itu dan ternyata bahasa yang digunakan dalam menulis status tidak seperti percakapan saya sebaliknya Bahasa Melayu yang betul," ujarnya kepada mStar Online.

Mark Adam menggunakan nama Facebook Mark Munding Echivarre dan Mark Adam Official bagi akaun rasminya.

Terdahulu, pada Rabu terdapat laman sosial Facebook yang menggunakan nama Mark Adam telah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila merendah-rendahkan kualiti kereta buatan Malaysia.

Facebook palsu itu turut menulis bahawa kereta jenama Proton hanya dipakai oleh golongan yang tidak berkemampuan sahaja.

Tambahnya, dia turut menerima kesan daripada kenyataan tersebut apabila dihubungi oleh pihak Proton berhubung perkara terbabit.

"Pengikut laman Facebook palsu itu lebih banyak daripada Facebook saya dan saya bimbang akan berlaku perkara yang lebih teruk lagi selepas ini mengaitkan nama saya.

"Semalam ada wakil daripada Proton yang hubungi saya sama ada saya ada membuat kenyataan seperti itu," ujarnya.

Enggan perkara itu terus berpanjangan, Mark Adam berkata, dia sudah memberi amaran menerusi mesej peribadi kepada akaun palsu tersebut, namun masih tidak dibalas.

Katanya, dia memberi tempoh kepada individu tersebut untuk tidak menggunakan lagi namanya dan akan mengambil tindakan jika ia masih berterusan.

"Dulu dia pernah keluarkan kenyataan tentang poligami sehingga membuatkan orang ramai marah dan kini sekali lagi dia buat perkara yang menimbulkan kekecohan.

"Saya tidak akan berdiam diri dan akan membuat laporan polis jika dia masih berterusan kerana ia akan memburukkan nama saya," ujarnya.

Tiada ulasan:
Write ulasan