Rabu, 13 Julai 2016

Peserta 'Air Mata' Bukan Pilihan Ellie Suriati Dalam AF 2016

PETALING JAYA: Tenaga pengajar Akademi Fantasia 2016, Ellie Suriati mencari penyanyi berjiwa kental selain tidak mudah mengalirkan air mata untuk dipilih sebagai peserta program realiti tersebut.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar, 46, berkata, tiada lagi alasan buat bakal peserta untuk bersikap seperti lemah semangat kerana bidang seni bukan sesuatu yang mudah atau untuk mengejar populariti semata-mata.

"Akademi Fantasia pada tahun ini hanya akan berlangsung selama lapan minggu sahaja jadi sebagai tenaga pengajar saya mencari peserta yang kuat dan benar-benar bersedia untuk bergelar juara.

"Selain mempunyai bakat besar saya ingin mempersiapkan mereka dalam mengharugi cabaran sebenar industri seni yang bukan semua boleh lalui.

"Jalan ini yang mereka pilih jadi tidak perlu menangis kerana kami semua serius dalam membimbing mereka," katanya kepada mStar Online.

Selain Ellie yang bertindak sebagai guru Seni Persembahan, empat lagi tenaga pengajar AF 2016 adalah Edry Abdul Halim (Pengarah Seni Muzik), Linda Jasmine (Guru Tarian & Koreografi), Shahrolbahri (Guru Vokal) dan Mas Idayu (Guru Persembahan Vokal).

Uji bakat AF 2016 bakal berlangsung selama tiga hari iaitu 15 hingga 17 Julai depan di The Boulevard - St Premier Hotel, Mid Valley Kuala Lumpur.

Program itu bakal bersiaran bermula Ogos depan di Astro Ria.

Dalam pada itu, Ellie berkata, dia juga bakal bertindak sebagai juri pada sesi pemilihan peserta dan berharap akan bertemu dengan bakat luar biasa yang mempunyai identiti sendiri.

"Saya pernah bertindak sebagai juri AF tetapi tahun ini saya mencari peserta yang ada x-factor dan tidak takut dengan cabaran.

"Malah saya juga melihat kepada keikhlasan hati mereka dan kesungguhan untuk bergelar juara," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ellie berkata, dia masih aktif sebagai pelakon dan pengarah malah bakal mengarahkan sebuah telefilem berjudul Transit Terakhir untuk siaran TV3.

Mengenai lakonan pula, Ellie berkata, buat masa ini dia banyak menumpukan kepada cabang pengarahan namun tidak menolak sekiranya ada tawaran berlakon diberikan kepadanya.

"Ada orang ingat saya sudah tidak berlakon atau bersikap memilih tetapi sebenarnya saya masih aktif cuma akhir-akhir ini saya banyak terima tawaran pengarahan.

"Pada saya bab memilih tidak timbul, pada saya tiada istilah peranan stereotaip kerana paling penting bagaimana kita sebagai pelakon menghidupkan sesuatu watak diberikan.

"Saya ada juga muncul dalam beberapa drama sebelum ini mungkin orang tidak perasan sahaja," jelasnya.

Tiada ulasan:
Write ulasan