Pemain Bersara Awal Rugikan Negara - Tengku Abdullah

TEMERLOH: "Ia merupakan satu kerugian kepada pasukan negara," demikian reaksi Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pengumuman empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bersara daripada skuad kebangsaan.

Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kesemua pemain terlibat sepatutnya berbincang dengan badan induk bolasepak negara tentang masalah yang dihadapi sebelum mengambil tindakan sedemikian.



"Saya kena dapat laporan, saya sendiri pun baharu saja mendapat tahu berita ini. Memang saya tahu kita (pemain) kena bersara suatu hari nanti tetapi kalau nak bersara awal tanpa tahu sebabnya ia merupakan satu kerugian," katanya.

Sejak Selasa lepas, empat pemain JDT dalam pasukan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim, S Kunalan dan Amirul Hadi mengumumkan persaraan daripada skuad Harimau Malaysia.

Tindakan mereka itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kebimbangan dikalangan peminat bola sepak negara berikutan khidmat mereka masih diperlukan bagi menguatkan pasukan negara yang kini berada di ranking 167 bola sepak dunia.

Dalam masa yang sama Tengku Abdullah tetap menghormati keputusan empat tunggak utama pasukan kebangsaan itu.  

Tengku Abdullah bagaimanapun enggan membuat sebarang andaian berhubung perkara itu, walaupun ada pihak mengandaikan satu usaha untuk 'mensabotaj' FAM.

Berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap empat pemain berkenaan Tengku Abdullah menyatakan beliau menyerahkan perkara itu kepada FAM.

"Elok kemuka terus (soalan) kepada pengurusan tertinggi dan pihak yang berkenaan," tambahnya.

0 comment... add one now