Isnin, 25 Julai 2016

Panik Pakcik Hodoh Duduk Di Sebelah, Lelaki Ini Tersedar Sesuatu Yang Amat Berharga

Saya kerap terserempak dengan seorang pakcik ni di masjid. Saya bukanlah kaki masjid sangat tetapi sekali-sekala yang saya datang tu dia mesti ada. Ada sesuatu berkenaan pakcik yang menarik perhatian saya.

Raut wajah beliau seperti seorang warga Indonesia, rendah dan sedikit gempal, berambut keriting dengan misai dan kumis berceracak, wajah berjerawat dan berkulit gelap tanda orang sudah biasa bekerja di bawah terik mentari.
Dia sentiasa bersendirian, walaupun jelas dia seorang regular di masjid tersebut. Tiada yang datang menegur sapa dan dia pun tidak pernah menegur sesiapa.
Hampir keseluruhan tubuhnya dibaluti gelembung-gelembung kecil dan besar. Dari atas kepala, di celah-celah rambut, di muka, di leher, tangan dan kaki yang tidak bersalut pakaian semuanya dipenuhi dengan ketumbuhan bergelembung tersebut.
Saya tahu ramai ahli jemaah masjid yang geli dan tidak mahu dekat dengan pakcik ni, termasuklah saya sendiri.
Kita takut untuk memandang terus, kita buat-buat tak nampak, pretendseperti dia tidak wujud dan kita calculate very-very carefully untuk tidak bertembung, bersentuh, bersalam atau berdiri solat bersebelahan dengannya seboleh mungkin.
Pada saya bukanlah masalah geli atau gerun tetapi lebih kepada tidak tahu untuk handle the worse case scenarios.
Bagaimana kalau pakcik tu hulur tangan? Bagaimana kalau dia tegur dan minta wang? Bagaimana kalau orang lain nampak kelakuan kita yang takgentleman langsung ini?
Walhal pakcik langsung tak ambil kisah pun tentang kita yang cuma datang sekali-sekala ini. Bahkan saya tengok pakcik sentiasa tenang dan bersahaja, bertafakur sendirian tanpa memikirkan apa-apa. Hanya dia dan Tuhannya.
Ketenangan pakcik inilah yang membuatkan saya berfikir sejenak sementara menunggu Isyak. Betapa obsesnya kita dengan rupa paras fizikal. Jerawat baru tumbuh sebiji di dahi, kita sudah tak dapat tidur semalaman membayangkan apa kata orang.
Biarlah tak ber-selfie sebulan sehingga jerawat brengset yang sebutir tadi hilang. Sanggup kita remove kawan baik kita kerana dia kongsikan muka tak senonoh kita di Facebook.
Kembali saya kepada pakcik tadi. Dalam kerancakkan saya berfikir itulah tiba-tiba pakcik datang menghampiri dan duduk di sebelah saya.
Saya panik sebentar tetapi sempat juga saya jeling kelibatnya sebelum saya mengira-ngira untuk bingkas bangun. Tetapi Allah Maha Kaya, dalam tempoh yang tidak sampai sesaat itu saya tersedar.
Rupanya dalam kekurangan pakcik saya nampak kekurangan diri saya sendiri. Ya mungkin saya tiada penyakit ganjil seperti pakcik, tiada cacat-cela yang menjelikkan orang yang melihat.
Saya cuma geramkan berat badan yang degil tak nak turun-turun dan rambut hitam yang semakin pupus diganti uban.
Pada saat itu apabila dibandingkan dengan pakcik, kecacatan dalam hati ini rupanya jauh lebih buruk dan menggelikan.
Betapa hodohnya rupa hati kita walaupun dari luar kelihatan sempurna. Ibarat buah mempelam yang montel kuning keemasan tiada satu tompok hitam pun, tetapi apabila dikupas sudah busuk dan berulat.
Kita banyak bersangka buruk pada orang lain, kita cepat dengki dan marah, kita kedekut, tamak dan suka menipu.
Kita tidak ikhlas, suka membangga-bangga diri, kita boros dan suka membazir, kita abaikan masa, abaikan ibubapa, masyarakat sekeliling dan 1001 macam lagi tabiat buruk lain.
Paling menakutkan kita suka berlakon dengan Tuhan, kita minta tolong denganNya apabila susah, tetapi melupakannya apabila senang.
Ada hikmahnya Allah tidak zahirkan penyakit hati kita di khalayak umum. Apapun saya cemburukan pakcik tadi. Disisi Tuhan dia tentu seorang yang hebat sebagaimana istimewanya Nabi Ayyub as yang pernah menerima ujian jauh lebih dahsyat lagi.
Saya juga terbayangkan akhirat, sudah tentu pakcik inilah yang paling tampan dan paling segak di sana berbanding saya yang entah bagaimanalah rupanya di hadapan Tuhan nanti, nauzubillah.
Tiada pesanan untuk sesiapa, hanya coretan untuk diri sendiri agar jangan sombong dan terleka.
KREDIT :: THE VOCKET

Tiada ulasan:
Write ulasan