Padah Cemburu, Wanita Dipukul Hingga Mati

KUALA LUMPUR: Padah kerana cemburu, seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai bertindak kejam memukul pasangannya sehingga menyebabkan kematian di kediamannya di sebuah flat di Taman Jinjang di sini pagi Sabtu.

Mangsa yang bekerja sebagai promoter di sebuah pub, berusia 36 tahun, mengalami kecederaan dan lebam di bahagian mata dan lengan itu meninggal dunia selepas dipukul oleh pasangannya dengan menggunakan sebatang mop di ruang tamu rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, pihaknya menahan seorang juruteknik lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya susulan menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 6.35 pagi.
"Hasil siasatan awal ke atas lelaki berkenaan, suspek mengaku memukul pasangannya sehingga mati kerana cemburu. Suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
"Mereka dikatakan telah bergaduh sejak Khamis lalu kerana mangsa enggan balik rumah dan menjaga anak mereka," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pasangan itu tidak berkahwin dan dipercayai bersekedudukan selama lima tahun serta mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun.
"Kira-kira 9 malam tadi, suspek dikatakan menghantar anaknya ke rumah bapa mangsa dengan meminta menjaga anaknya itu," katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat petang Sabtu manakala suspek yang cedera di pergelangan tangannya dihantar ke hospital sama untuk rawatan, katanya. - Bernama

0 comment... add one now