Melissa Saila Keliru Permohonan Maaf David Teo

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Melissa Saila keliru dengan permohonan maaf dibuat penerbit filem David Teo yang mengeluarkan kenyataan menghina Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee baru-baru ini.

Melissa berkata, dia tidak jelas dengan tindakan David yang turut menafikan ada mengeluarkan kenyataan tersebut selain menyifatkan ia sebagai salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel berkenaan.

"Sekiranya seseorang itu meminta maaf ia kerana ada kesalahan yang dilakukan dan kalau menafikan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

"Dalam hal permohonan maaf David saya keliru kerana dia minta maaf dan menafikan ada mengeluarkan kenyataan.

"Jadi sebenarnya yang mana satu? Saya tidak jelas," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

David menerusi artikel yang disiarkan satu portal berita pada 7 Julai lalu mahu para pelakon menjadi jutawan dan tidak hidup melarat sebagaimana pengakhiran kehidupan P. Ramlee.

Kenyataan itu menyebabkan ramai tidak berpuas hati dengannya termasuk ahli keluarga Seniman Agung itu selain Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa agar David mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) itu bagaimanapun tampil mengemukakan permohonan maaf secara bertulis di laman web syarikatnya pada pagi Isnin.

Dalam pada itu, Melissa berkata, dia terkejut membaca artikel berkenaan kerana tidak menyangka ia datang daripada seorang pembikin filem yang terkenal di Malaysia.

Melissa menegaskan apa yang diperkatakan oleh David tidak relevan untuk membandingkan perniagaan dan impiannya dengan P. Ramlee.

"Saya terkejut dan terusik dengan apa yang saya baca kerana ia sama sekali tidak benar.

"Mungkin P. Ramlee tidak kaya tetapi untuk mengatakan dia merempat dan papa kedana adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya yang juga anak saudara kepada Seniman Agung itu.

0 comment... add one now