Ahad, 17 Julai 2016

Masuk Penjara Lagi Selepas Pecah Masuk Bengkel Kenderaan

JERTIH- Seorang lelaki tidak serik walaupun baru beberapa bulan dibebaskan daripada penjara apabila dia dicekup lagi ketika melarikan pelbagai jenis alat ganti kenderaan terpakai di sebuah bengkel di Kampung Padang Luas, Jertih di sini, kelmarin.

'Buat kerja' ketika solat Jumaat

Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 petang itu, suspek berumur 35 tahun dipercayai mengambil peluang ketika orang menunaikan solat Jumaat untuk memecah masuk bengkel yang tidak beroperasi.

Bagaimanapun, perbuatannya dilihat orang ramai yang kemudian bertindak menghubungi pemilik bengkel itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pemilik bengkel berusia 38 tahun dihubungi rakannya kira-kira jam 1.38 petang ketika dia berada di Masjid Kampung Bukit Puteri Dalam.

“Pemilik tinggal di Kampung Beris Pak Abu bergegas ke bengkel yang terletak berhampiran Masjid Kampung Padang Luas tersebut dan mendapati orang ramai telah memberkas suspek bersama sebuah kereta kereta Proton Saga,” katanya.

Mohd Zamri berkata, orang ramai menemui beberapa alat ganti kenderaan di bahagian but belakang kenderaan iaitu dua kotak gear, bateri dan beberapa jenis komponen enjin.

Menurutnya, orang ramai menyerahkan suspek kepada polis dan turut merampas barangan dicuri serta kereta yang dibawa suspek.

“Suspek sebelum ini pernah dikenakan hukuman penjara sebelum dibebaskan beberapa bulan lalu kerana kesalahan memecah masuk sebuah kedai komputer di Jertih, dan dia ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.

Sementara dalam kes berasingan, Mohd Zamri berkata, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun cedera di kepala dan muka apabila dibelasah oleh tiga lelaki yang menyamunnya di kawasan tepi pantai Air Tawar dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Md Nornadzrizalman Md Azri dari Kampung Lak Lok Dalam Jertih dibelasah suspek menggunakan kayu.

“Ketika mangsa berada di tepi pantai, datang seorang lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa.

"Suspek pada awalnya berpura-pura berbual dengan mangsa namun kemudian mengarahkan mangsa menanggalkan jam dipakainya.

“Mangsa bagaimanapun enggan menyerahkan jam tangan tersebut menyebabkan suspek bertindak mengeluarkan satu objek dari seluarnya lalu meletakkan di leher mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, mangsa sempat menepis dan menolak mangsa dan sejurus itu datang dua lagi rakan suspek bertindak memukul mangsa menggunakan kayu.

Menurutnya, suspek kemudiannya melarikan jam mangsa dan ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan muka.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, polis sedang mengesan suspek terlibat kerana sebelum ini satu kumpulan penjenayah sering melakukan kegiatan samun di kawasan sama telah ditumpaskan dua bulan lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun berkawan tanpa senjata api.

Tiada ulasan:
Write ulasan