Rabu, 20 Julai 2016

Kita semua Freemason

BARU-BARU ini, seorang jeneral Saudi  bernama Anwar Eshki mengaku di TV Al-Jazeera bahawa Saudi tengah berbincang dengan Netanyahu tentang kemungkinan Saudi tubuhkan kedutaan di Israel.

Dia mengaku bahawa Saudi juga telah memuji Netanyahu sebagai tokoh politik yang kuat dan rasional di negaranya!

Netanyahu

Sekali kita baca kenyataan di atas, sudah tentu akan timbul banyak persoalan. Wacana politik ada pelbagai lapisan. Bila orang awam melihat lapisan atas sahaja dan gagal melihat yang tersirat, fobia kita akan makin teruk: Saudi, ulama Saudi dan sesiapa yang pro-ulama Saudi adalah sekutu Yahudi Freemason!

Bila kita renung dengan dalam, rupanya Saudi risau tentang kebangkitan Iran-Syiah sebagai kuasa besar. Saudi terfikir untuk kerjasama dengan Israel untuk lawan Iran.

Bagi mereka yang 'anti-wahabi Saudi', akan timbul persoalan mengapa lawan Syiah-Iran? Bukankah sama-sama orang Islam? Patut lawan Yahudi. Timbul pula persoalan bukankah Syiah dipengaruhi pemikiran Abdullah bin Saba’, Yahudi yang pura-pura peluk Islam?

Bukankah Ayatollah Khomeini bersembunyi di Perancis semasa Iran bawah jajahan Shah Iran yang sekular? Bukankah Perancis ini diasaskan oleh Yahudi Freemason juga? Slogan revolusi Perancis Liberty, Equality dan Fraternity adalah slogan Freemason, maka bukankah ini bermakna Syiah-Iran pun adalah Freemason juga!!

Kalau Syiah adalah Freemason, salafi adalah Freemason, maka Syiah lawan salafi adalah Freemason lawan Freemason?

Suara mula timbul berkenaan pergerakan Freemason di Malaysia. Mengapa bangunan Freemason semakin besar dibina di Bukit OUG? Bukankah ini pergerakan Yahudi melalui konspirasi Barat?

Timbul persoalan siapakah yang luluskan pendaftaran Freemason? Kalau birokrasi kerajaan yang luluskan, bukankah ini bermakna Malaysia pun adalah Freemason? Fobia Freemason makin menjadi-jadi!

Apakah yang jatuhkan dinasti maharaja China? Falsafah Karl Marx. Siapakah Karl Marx? Dia adalah Yahudi pekat. Dinasti Maharaja China dihancurkan oleh mazhab sosialis Yahudi. Bukankah ini bermakna China juga adalah Freemason Yahudi?

“China, negara-negara Barat, negara-negara Arab, Iran, Malaysia, Singapura, Rusia, semua adalah Freemason. Mana lagi saya mahu duduk, Xifu?” Anak murid saya kebingungan. “Larikanlah diri ke Papua New Guinea!” Saya gelak kerana lawak saya menjadi walaupun saya kesian dengan wajah pucat pelajar saya.

Seorang pelajar lagi berhujah tak mahu kalah, “Xifu, itulah sebab kita perlukan sebuah parti Islam untuk menang pilihan raya!” Saya tanya, “Siapakah yang cipta konsep ‘kepartian’, konsep pilihan raya? Ini semua adalah berpaksi kepada falsafah liberal demokrasi!

Tamadun kita dulu tak ada konsep “parti politik” atau pilihan raya. Rakyat tidak keluar undi seperti sekarang. Falsafah Liberty, Equality dan Fraternity adalah roh liberal demokrasi. Ini slogan Freemason.

Konsep kepartian dalam parti politik Islam itu sendiri dipengaruhi falsafah politik Freemason! Konsep “Parti adalah jemaah dan jemaah adalah parti” bukan ajaran Nabi! 'Lu mana mau' larikan diri sekarang? Semua adalah Freemason!

Saya sambung lawak akademik saya, “Teori MacDonaldization of Education juga sudah dikemukakan dalam sosiologi. Teori ini berkata bahawa sistem pendidikan kita dipengaruhi oleh falsafah kerja MacDonald. Sebagai contohnya, sistem semester berpaksikan falsafah hidang ilmu dengan cepat, belajar dengan cepat, lulus dengan cepat.”

“Semua mahu cepat seperti fast food MacDonald. Kita laungkan boikot McD selalu kerana ia adalah Yahudi. Hakikatnya, bukankah ini bermakna sistem pendidikan kita pun dipengaruhi Yahudi Freemason? Mana kamu mahu belajar?”

Saya lihat tuduhan Freemason kepada tokoh, dan pendakwah makin menjadi modal penulis-penulis tertentu untuk sensasikan penulisan mereka. Dalam kehidupan kita, kita tak boleh melarikan diri daripada pengaruh asing.

Mahu tak mahu, kita kerjasama dengan Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi, Freemason, ahli maksiat, ahli korupsi, salafi, sufi, liberal. Bila kita sakit dan jumpa doktor, adakah kita minta doktor buktikan dulu bahawa dia bukan Freemason, barulah kita benarkan dia rawat kita?

Maka, saya setuju dengan nasihat Dr Maszlee Malik dan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz bahawa tidak mengapa kerjasama dengan pelbagai pihak selagi kita lebih bijak merancang strategi daripada mereka.

* Abdul Naser Tun Rahman AJK Murshid, Macma, Smash

Tiada ulasan:
Write ulasan